Kit ujian pantas diuji sebelum tambah tempahan: Noor Hisham

Dr Noor Hisham (kiri) ketika sidang media harian berkaitan jangkitan COVID-19 di Kementerian Kesihatan hari ini. -Foto Bernama
Dr Noor Hisham (kiri) ketika sidang media harian berkaitan jangkitan COVID-19 di Kementerian Kesihatan hari ini. -Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan menguji terlebih dahulu keberkesanan kit ujian pantas antigen atau rapid test kit dari Korea Selatan yang dibeli sebelum ini sebelum membuat keputusan untuk menambahkan lagi bekalan peralatan itu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, buat masa ini pihaknya akan menilai keberkesanan 50,000 alat tersebut yang telah pun digunakan secara berperingkat.

"Jadi setakat ini memang kita tempah untuk 200,000, jadi kita akan lihat kepada 50,000 yang kita guna dan kita akan kaji data tersebut.

"Kalau data yang kita terima bagus, ketepatan dan cara penggunaan bagus, kita mungkin akan tempah lebih banyak lagi.

"Jadi, sebelum kita tempah biar kita jalankan penilaian dulu, jadi kita dalam proses menjalankan penilaian dan apabila kita dapat data-data tersebut, kita akan maklum kepada semua," katanya pada sidang akhbar perkembangan koronavirus (Covid-19) di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada KKM berhasrat untuk membuat tempahan baharu terhadap alat yang dibeli dari Korea Selatan itu.

Terdahulu, Dr Noor Hisham dalam sidang akhbarnya semalam memaklumkan 50,000 peralatan tersebut telah diagihkan.

Katanya, 10,000 daripada jumlah itu diagihkan ke Sabah, Sarawak (10,000), Johor (15,000) dan bakinya ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan (KLIA2).

Artikel Berkaitan:

Pembelian kit ujian secara cepat atau 'rapid test kit' yang diimport dari Korea Selatan dibawa masuk secara pukal dan berharga serendah RM50 setiap satu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!