Bantuan khas tunai Covid-19 dibayar mulai 13 Mei

Mukhriz Mahathir
Mukhriz Mahathir
A
A
A

ALOR SETAR - Berita gembira buat rakyat negeri Kedah apabila bantuan khas tunai RM300 akan dibayar kepada penerima terpilih bermula 13 Mei ini secara berperingkat.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, bantuan itu akan dikreditkan secara terus ke akaun penerima yang layak.

Menurutnya, seramai 22,579 permohonan diterima melalui pusat-pusat khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan setiap kawasan DUN ditetapkan kuota seramai 700 orang.

"Bantuan ini adalah di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi yang dirangka kerajaan negeri bagi menangani kesan pandemik (koronavirus) Covid-19. Kita umumkan bantuan tunai ini untuk golongan terkesan bulan lalu," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Mukhriz berkata, bagi penerima yang layak menerima bantuan tunai tersebut, mereka akan dimaklumkan oleh Pusat Khidmat DUN dan Penyelaras DUN masing-masing.

Jelasnya, bagi penerima yang tidak mempunyai akaun bank, bantuan khas itu akan disampaikan secara tunai melalui Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Penyelaras DUN masing-masing.

Jelasnya, bagi permohonan yang diterima bertindih atau tidak lengkap untuk proses bayaran, ia akan dikembalikan ke Pusat Khidmat DUN dan Penyelaras DUN untuk dikemas kini dan diproses semula.

"Saya harap bantuan khas tunai ini dapat mengurangkan beban kewangan rakyat yang terkesan akibat wabak Covid-19," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan berkaitan, Mukhriz berkata, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah memutuskan untuk melanjutkan waktu operasi stesen minyak

di seluruh negeri ini antara 6 pagi hingga 10 malam dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bagi membendung penularan wabak Covid-19.

Beliau sehubungan itu turut mengingatkan pengguna jalan raya memastikan kenderaan diisi minyak mencukupi bagi mengelak terkandas dalam perjalanan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!