Presma tak terima aduan harga makanan, minuman naik

Ayoob Khan
Ayoob Khan
A
A
A

SHAH ALAM - Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) mendakwa tidak menerima aduan kenaikan harga makanan dan minuman setakat ini.

Presidennya, Ayoob Khan berkata, jika ada aduan diterima, sudah pasti Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengambil tindakan.

Beliau menasihatkan pengguna terus melakukan pemantauan harga sendiri dan melaporkan jika berlaku kenaikan harga.

"Pengguna lebih tahu tentang hal ini. Katakan hari ini makan di sebuah kedai dengan harga RM10.00 dan esok makan di kedai sama harga pula naik kepada RM10.20 (untuk menu yang sama), mereka perlu laporkan.

"Jika tidak, kami sendiri tidak tahu berlaku kenaikan harga makanan dan minuman di restoran," katanya kepada Sinar Harian ketika diminta mengulas tentang majoriti 4,000 aduan kenaikan harga adalah makanan dan minuman.

Semalam, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, aduan mengenai kenaikan harga makanan dan minuman mendominasi purata 4,000 aduan yang diterima KPDNHEP setiap bulan.

Katanya, lebih 50 peratus aduan membabitkan kenaikan harga makanan dan minuman di premis makanan, 'food court' dan restoran.

Dalam pada itu, Ayoob berkata, harga makanan dan minuman di restoran adalah ditentukan pengusaha sendiri berdasarkan kos operasi ditanggung mereka, selain mengikut kawasan.

Artikel Berkaitan:

"Kita tidak laksanakan standard harga bagi semua pengusaha restoran. Di bandar harga makanan dan minuman lain dengan di kawasan kampung," katanya.

Meskipun harga bahan api turun, namun katanya, harga barang basah dan keperluan restoran tetap sama, malah ada juga yang naik menyebabkan pengusaha restoran tersepit untuk menurunkan harga makanan serta minuman kerana terpaksa menanggung kos tinggi.

"Harga ayam hari ini tinggi sampai RM7.80 hingga RM8.00 sekilogram," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!