Pengeluaran i-Lestari untuk diri, tanggungan tak wajib zakat di Perak

No Image Caption
A
A
A

IPOH - Pengeluaran i-Lestari Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi tujuan kelangsungan hidup diri sendiri dan tanggungan oleh ahli yang beragama Islam di Perak tidak diwajibkan zakat.

Menurut kenyataan Zakat Perak-Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), perkara itu telah diperakukan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak, setelah mendapat pandangan Penasihat Shariah KWSP.

“Pengeluaran bagi tujuan tersebut selain untuk menampung keperluan asas seperti makanan, pakaian, tempat tinggal, pendidikan dan kesihatan, dikira sebagai pengeluaran di bawah kategori Hajah Asliyah dan tidak diwajibkan zakat,” demikian menurut kenyataan itu di sini, hari ini.

Sementara itu, bagi ahli KWSP yang membuat pengeluaran i-Lestari bukan untuk tujuan menampung keperluan asas diri sendiri dan tanggungan, maka zakat adalah diwajibkan berdasarkan Zakat Mal Mustafad iaitu 2.5 peratus, daripada jumlah dikeluarkan.

“Semoga pencerahan ini ada manfaatnya buat masyarakat dan kita tidak terlalai dengan apa yang menjadi kewajipan atas diri kita sendiri,” menurut kenyataan itu.

Pengeluaran i-Lestari sebanyak RM500 sebulan selama 12 bulan daripada Akaun 2 KWSP, bertujuan meringankan beban orang ramai kesan daripada penularan wabak Covid-19.- Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!