Setahun untuk kembali ke prestasi terbaik

Jaganathan
Jaganathan
A
A
A

KETUA jurulatih skuad olahraga para negara, R Jaganathan percaya akan mengambil masa kira-kira setahun untuk atlet bimbingannya kembali ke prestasi terbaik berikutan tidak dapat menjalani latihan untuk tempoh lama susulan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk mengekang penyebaran Covid-19.

"Sekarang, mereka hanya melakukan senaman regang otot. Saya memantau latihan mereka secara dalam talian. Latihan yang betul mesti dimulakan dengan penyesuaian selama empat bulan, diikuti dengan latihan khusus selama tiga bulan dan pertandingan,” katanya hari ini.

Sehubungan itu, beliau gembira dengan kemungkinan Sukan Para ASEAN (APG) tahun ini dibatalkan selepas Filipina memutuskan untuk membatalkan semua acara sukan bagi 2020, hanya tinggal Sukan Malaysia (Sukma) tahun depan pada April dan Paralimpik Tokyo pada bulan Ogos menjadi tumpuan utama skuad olahraga para negara.

Bagaimanapun, Jaganathan yang berpengalaman hampir 40 tahun melatih atlet normal dan atlet para, menjangkakan amat mencabar untuk memberi motivasi kepada atlet bimbingannya untuk kembali bersemangat bagi meraih kemenangan.

Selain memastikan mereka kembali cergas sepenuhnya dari segi fizikal, beliau juga berdepan tugas sukar untuk mengembalikan kekuatan mental mereka.

“Ia tidak sama dari segi melatih atlet normal dan atlet para. Selain itu, tahap semangat atlet para ketika ini sangat rendah. Ia memerlukan banyak masa, usaha dan kesabaran untuk menaikkan semangat mereka berbanding dengan atlet normal.

"Pandemik telah menghentikan semua persiapan dan rancangan kami. Kami sudah berada di landasan yang betul dari segi persiapan kami untuk APG dan Paralimpik Tokyo tetapi sekarang, kamu perlu bermula semula daripada sifar," kata Jaganathan yang melatih M Ramachandran, bekas raja jarak sederhana dan pemegang rekod kebangsaan dalam acara 5,000m dan 10,000m untuk tempoh lebih dua dekad sebelum mengambil tugas melatih skuad para pada 2001.

Buat masa ini, Jaganathan berkata, skuad olahraga para kebangsaan akan terus berlatih di rumah berikutan beliau menjangkakan latihan penuh akan hanya disambung semula paling awal pada Jun.

Artikel Berkaitan:

Walaupun kerajaan telah membenarkan aktiviti sukan yang tidak bersentuhan, seperti joging, berbasikal dan badminton dalam kumpulan kecil di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dilaksanakan sejak Isnin, atlet negara masih menunggu garis panduan dan lampu hijau daripada Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN).

Sementara itu, Jaganathan terus menaruh harapan sekurang-kurangnya empat lagi atlet para akan layak ke Paralimpik Tokyo walaupun dua kejohanan kelayakan - Grand Prix Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC) dijadual diadakan di Itali dan Perancis bulan ini telah ditangguhkan disebabkan pandemik itu.

Setakat ini, empat atlet para, Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi (100m T36), Muhammad Ziyad Zolkefli (lontar peluru F20), Abdul Latif Romly (lompat jauh F20) dan Jonathan Wong Kar Gee (lompat jauh T12) telah layak ke Paralimpik Tokyo selepas memenangi pingat di Kejohanan Olahraga Para Dunia 2019 di Dubai.

Pada Paralimpik 2016 di Rio de Janeiro, hanya skuad olahraga pulang dengan pingat dengan Mohamad Ridzuan, Muhammad Ziyad dan Abdul Latif memenangi pingat emas. Mohamad Ridzuan juga melakar sejarah dengan memenangi emas pertama negara. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!