Guan Eng mengapa nak ungkit isu lama?

Wan Rosdy
Wan Rosdy
A
A
A

KUANTAN - Kenyataan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng yang mengungkit kembali isu hutang kerajaan negeri disifatkan seperti memutar kembali piring hitam lama kerana perkara itu bukan lagi isu sebaliknya jalan penyelesaiannya sudah pun dicapai.

Memetik kenyataan melalui Facebook rasminya, Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy berkata, kenyataan Guan Eng pada ceramahnya di Felda Koyan 1 itu satu tohmahan dan sindiran semata-mata untuk menghina demi meraih undi untuk memastikan kemenangan calonnya pada PRK Cameron Highlands, 26 Januari ini.

Menurutnya, isu hutang kerajaan negeri RM3.2 dengan Kerajaan Persekutuan sudah ada penyelesaian termasuk hutang RM2.2 billion berkaitan kerja serta sistem pembekalan air di negeri ini.

"Ia termasuk hutang bagi menaik taraf Loji Rawatan Air (LRA) dan menukar paip usang daripada jenis asbestos kepada PVC sepanjang kira-kira 12,000 kilometer di negeri ini.

"Melalui penyelesaian itu, hutang tersebut akan terlupus dan menjadi geran apabila penstrukturan bekalan air seluruh negara yang sedang rancak dilaksanakan sekarang diselesaikan,"katanya.

Wan Rosdy berkata, baki hutang RM1 billion itu berkaitan dengan perkara asas demi kesejahteraan rakyat seperti pembinaan rumah kos rendah dan perbelanjaan bantuan mangsa banjir 2014 dan kos penganjuran Sukma XV Pahang 2012.

Katanya, kos penganjuran Sukma XV Pahang 2012 dengan kerja-kerja membina baharu dan menaik taraf kemudahan-kemudahan sukan, melibatkan kos kira-kira RM200 juta manakala bagi bantuan mangsa banjir, RM40 juta.

"Hutang-hutang ini sepatutnya dianggap sebagai geran memandangkan ia turut mempunyai kepentingan nasional sepertimana penganjuran Sukma XV Pahang 2012 tersebut.

Artikel Berkaitan:

"Maka, kalau adapun hutang kerajaan negeri dengan Kerajaan Persekutuan, jumlahnya sepatutnya cuma RM760 juta, jauh kurangnya daripada RM3.1 billion yang diuar-uarkan secara negatif oleh Guan Eng,"katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri kini ada kaedah untuk menambahkan hasil negeri yang daripadanya boleh digunakan untuk membayar hutang berkenaan.

"Antaranya meminta Tenaga Nasional Bhd (TNB) misalnya, membayar kerajaan negeri atas jumlah air yang digunakan oleh stesen-stesen janakuasa hidro bagi menghasilkan elektrik.

"Dengan hasil tambahan ini, insyaAllah, akan dapat mengukuhkan lagi kewangan negeri yang saban tahun menerima hasil kira-kira RM700 juta daripada sumber-sumber tradisional seperti tanah dan hutan,"katanya.

Wan Rosdy berkata, walau apapun status atau nilai hutang kerajaan negeri dengan pusat, Menteri Kewangan tentunya sedar akan pertanggungjawaban Kerajaan Persekutuan ke atas kerajaan negeri.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!