Cubaan seludup 2,135 kilogram ketum ke negara jiran

Antara rampasan daun ketum dalam operasi di sekitar Padang Besar, Perlis, baru-baru ini.
Antara rampasan daun ketum dalam operasi di sekitar Padang Besar, Perlis, baru-baru ini.
A
A
A

PADANG BESAR - Pasukan Gerakan Am (PGA) mematahkan kegiatan penyeludupan daun ketum ke negara jiran seberat 2,135 kilogram (kg) yang dianggarkan bernilai RM64,050 dalam tiga serbuan berasingan di daerah ini pada Ahad dan Isnin lalu.

Komander Briged Utara Pasukan Gerakan Am (PGA), Senior Asisten Komisioner Abdul Ghani Mohamad Ji berkata, operasi pertama menerusi Op Covid-19 Shield kira-kira jam 9.45 malam membawa serbuan di sebuah rumah di Kampung Kolam.

"Pemeriksaan di dalam rumah terbabit menemui 42 guni putih mengandungi daun ketum seberat 1,290 kg bernilai RM38,700 yang dibaluti plastik lut sinar dipercayai bagi tujuan penyeludupan ke negara jiran.

"Turut dijumpai empat guni di bahagian dapur mengandungi 330 botol cecair ubat batuk bernilai RM2,970," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Antara rampasan daun ketum dalam operasi di sekitar Padang Besar, Perlis, baru-baru ini.
Antara rampasan daun ketum dalam operasi di sekitar Padang Besar, Perlis, baru-baru ini.

Abdul Ghani berkata, serbuan kedua kira-kira jam 12.30 tengah malam bertindak menggempur sebuah pondok di belakang sebuah rumah di Felda Mata Air dan menemui enam guni daun ketum seberat 180kg dianggarkan bernilai RM5,400.

Katanya, operasi seterusnya kira-kira jam 8.50 pagi di kawasan kebun telah membawa rampasan 19 guni seberat 665 kg bernilai RM19,950.

"Rampasan itu dibuat susulan pemantauan sepasukan anggota yang terserempak sekumpulan lelaki yang sedang memikul guni terbabit. Menyedari kehadiran pihak berkuasa, suspek terus melarikan diri," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, kesemua rampasan bagi ketiga-tiga kes ini dibawa ke Balai Polis Padang Besar untuk tindakan selanjutnya.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!