Bekas menteri gesa kerajaan teruskan Op Naga
SHAH ALAM - Bekas Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Salahuddin Ayub menggesa kerajaan menerusi pihak berkuasa berkaitan meneruskan ‘Op Naga’ dalam usaha mengekang pencerobohan nelayan asing Vietnam.
Beliau yang juga Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) berkata, inisiatif operasi khas sepatutnya diteruskan walaupun kerajaan bertukar bagi membela nasib nelayan tempatan yang terjejas mata pencarian akibat pencerobohan nelayan asing.
“Baru-baru ini saya menerima aduan bahawa pencerobohan nelayan asing Vietnam semakin menjadi-jadi. Mereka semakin berani menceroboh perairan negara untuk mencuri khazanah hasil laut negara.
"Sebelum ini, saya sering memberi jaminan bahawa Ops Naga akan diteruskan untuk memastikan agar nasib nelayan tempatan terus terbela,” kata dalam kenyataannya hari ini.
Menurutnya yang juga Ahli Parlimen Pulai, selepas bertukarnya kerajaan Pakatan Harapan kepada Perikatan Nasional, operasi khas itu seolah-olah sudah diberhentikan.
"Isu pencerobohan nelayan asing bukan satu isu baru dan Op Naga yang dilancarkan pada tahun lepas telah banyak membantu dalam menyelamatkan hasil laut negara sekali gus membela nasib nelayan tempatan.
“Op Naga inisiatif sewaktu saya di Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dengan kerjasama Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Pertahanan, Kementerian Luar Negeri dan Kementerian Pengangkutan," katanya.
Katanya, dalam masa beberapa bulan, lebih dari 200 vesel asing ditahan dan beberapa bot asing juga ditenggelamkan untuk dijadikan tukun bagi tujuan pembiakan ikan serta hasil laut.
“Ini sekali gus membantu mengawal pencerobohan nelayan asing yang telah mengakibatkan ketirisan hasil laut sebanyak RM6 bilion setahun.
"Op Naga juga membantu menyelamatkan ekosistem laut daripada terus dirosakkan nelayan asing,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!