Jenazah ADUN Chini selamat dikebumikan

Isteri Allahyarham, Razana Fatin Abdullah @ Razali, 47, menyiram air di pusara suaminya.
Isteri Allahyarham, Razana Fatin Abdullah @ Razali, 47, menyiram air di pusara suaminya.
A
A
A

PEKAN - Jenazah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chini, Datuk Seri Abu Bakar Harun selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Felda Chini 3, di sini kira-kira jam 2 petang tadi.

Jenazah tiba dari Kuala Lumpur kira-kira jam 1.20 tengah hari dan dibawa ke Masjid Al- Makmuriah Felda Chini 3 untuk disembahyangkan.

Perjalanan solat jenazah dan pengebumian dikawal pihak polis dan kakitangan kesihatan bagi memastikan ahli keluarga, rakan dan kenalan yang hadir mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) terutama penjarakan sosial.

Turut hadir, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail; Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang, Datuk Seri Ishak Muhammad dan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri serta Exco.

Jenazah Allahyarham tiba di Felda Chini 3 selepas Zohor sebelum dibawa ke masjid untuk disembahyangkan.
Jenazah Allahyarham tiba di Felda Chini 3 selepas Zohor sebelum dibawa ke masjid untuk disembahyangkan.

Wan Rosdy berkata, pemergian Allahyarham satu kehilangan besar kepada Pahang terutama pengundi di DUN Chini.

"Allahyarham seangkatan dengan saya apabila bertanding sebagai calon BN (Barisan Nasional) pada PRU11 (Pilihan Raya Umum ke-11) pada 2004 dan kami berdua menang dan dilantik sebagai ADUN di kawasan masing-masing. Saya di DUN Jelai, Parlimen Lipis dan beliau di DUN Chini, Parlimen Pekan.

"Pada PRU13, Allahyarham berjaya mempertahankan kerusi di DUN Chini dan ketika itu dilantik sebagai salah seorang Exco kerajaan negeri di bawah portfolio Hal Ehwal Peneroka dan FELDA," katanya.

[ARTIKEL BERKAITAN] - ADUN Chini meninggal dunia

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, Allahyarham dikenali sebagai seorang pemimpin yang bertanggungjawab, kuat bekerja dan sentiasa menjaga penduduk di kawasannya.

"Saya agak terkejut apabila mendapat tahu beliau meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL) awal pagi tadi kerana serangan jantung.

"Kali terakhir kami bertemu beberapa hari lalu, itu pun melalui sidang video ketika bermesyuarat di Pejabat Pengurusan Air Pahang Berhad (Paip) dan ketika itu beliau tidak banyak bercakap tapi banyak tersenyum," katanya.

Wan Rosdy berkata, Allahyarham memang tidak banyak cakap tetapi sesekali beliau bersuara atau ketawa boleh 'menyentuh hati' kerana ketawanya ada gaya tersendiri.

"Saya doakan Allahyarham ditempatkan dalam kalangan hamba-Nya yang beriman dan salam takziah buat keluarga atas dugaan Ramadan ini," katanya.

[ARTIKEL BERKAITAN] - Agong zahir ucapan takziah kepada keluarga ADUN Chini

Sementara itu, Ishak berkata, beliau mengenali Allahyarham sekitar tahun 1990-an ketika mula bertanding di DUN Bebar.

"Ketika itu sebahagian kawasan Chini di bawah DUN Bebar dan Allahyarham ketika itu sudah aktif sebagai Ketua Pemuda UMNO Cawangan Chini.

"Jadi saya nampak ketokohan beliau dalam kepimpinan, cara kerja yang baik dan ada kredibiliti sebagai seorang pemimpin," katanya.

Ishak berkata, atas ciri-ciri kepimpinan dimiliki, Allahyarham dipilih sebagai calon BN untuk bertanding di DUN Chini pada PRU11 dan beliau menang serta berjaya mengekalkan kerusi itu selama tiga penggal termasuk pada PRU14 lalu.

Allahyarham Datuk Seri Abu Bakar Harun, 59, meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL) awal pagi tadi akibat serangan jantung.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!