Mata kabur, muntah dipatuk ular
KUALA TERENGGANU - Seorang lelaki terpaksa menahan kesakitan hampir satu jam akibat dipatuk ular dalam kejadian di rumahnya di perumahan Seberang Marang, Jumaat lalu.
Dalam kejadian jam 11 malam itu, Norhisyam Abdullah, 45, berkata, dia mengalami muntah dan penglihatannya kabur selepas lima minit dipatuk reptilia berbisa itu.
"Sebelum kejadian, saya turun tangga dalam rumah menuju dapur untuk ke bilik air. Kebetulan waktu tu tengah nak mandikan anak saya.
"Ketika kaki saya memijak anak tangga, tiba-tiba rasa ada sesuatu mematuk, lepas tu rasa pedih dan sakit yang amat sangat pada bahagian betis kanan saya.
"Tak lama lepas tu bahagian betis saya terasa kebas, keras dan membengkak," katanya ketika ditemui pada hari kelima menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), semalam.
Katanya, panik dengan kejadian itu, adiknya bergegas membawanya ke Klinik Kesihatan Marang sebelum dikejarkan ke HSNZ.
"Waktu tiba di klinik doktor ada berikan suntikan. Dia beritahu ia kesan gigitan ular kerana terdapat dua lubang yang berdarah. Namun, saya tidak dapat pastikan jenis ular itu sebab lepas kena patuk, saya tidak jumpa ular atau apa-apa haiwan berbisa.
"Saya pelik sebab isteri saya pun cari di bawah tangga dan sekitar rumah, tapi tak pula jumpa ular yang mematuk saya," katanya yang tinggal di rumah itu sejak lebih 30 tahun lalu.
Bercerita lanjut, Norhisyam berkata, ia adalah pengalaman pertama dia terkena gigitan haiwan berbisa itu.
"Saya pernah ada pengalaman disengat tebuan tapi rasanya tidak sakit seperti ini. Kali ini rasa sakit sampai kaki saya tak boleh berjalan kerana terlalu bengkak.
"Memang saya rasa serik dah sebab sakit sangat. Tak dapat bayangkan kalau yang terkena tu anak-anak.
"Lepas ni saya perlu lebih berhati-hati lagi supaya kejadian sama tidak berulang," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!