741 kes baharu Covid-19 di Singapura
SINGAPURA - Singapura mengesahkan secara awal pertambahan 741 kes jangkitan koronavirus (Covid-19) menjadikan jumlah terbaharu sebanyak 20,939 kes.
Kementerian Kesihatan (MOH) republik itu memaklumkan hanya 11 kes melibatkan rakyat Singapura atau Penduduk Tetap manakala majoriti kes melibatkan pekerja asing yang ditempatkan di asrama.
Dalam kenyataan hari ini, kementerian itu menyatakan ia masih memperhalusi butiran kes berkenaan dan akan memaklumkan perkembangan terkini kemudian hari ini.
Dalam data terperinci yang dikeluarkan lewat Rabu, Singapura setakat ini mengklasifikasikan 1,254 kes komuniti, 579 kes import dan 607 kes melibatkan pemegang permit kerja yang ditempatkan di asrama.
Sementara itu, pekerja asing di asrama mendominasi jumlah pada Rabu melibatkan 20,198, bersamaan 88 peratus atau 17,758 kes.
Memandangkan tidak ada lagi kes dikaitkan dengan Wilby Residences di Wilby Road sejak dua tempoh inkubasi, kluster berkenaan kini sudah ditutup, demikian menurut kementerian itu.
Republik ini juga telah mengenal pasti tujuh kluster baharu pada Rabu. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!