Taska di Kedah ditutup elak risiko Covid-19

Ku Rahmah Ku Bahari
Ku Rahmah Ku Bahari
A
A
A

ALOR SETAR - Pengusaha taman asuhan kanak-kanak (Taska) di Kedah mengambil keputusan tidak memulakan beroperasi bagi mengelak risiko jangkitan Covid-19 walaupun dibenarkan berbuat demikian dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Pengerusi Persatuan Pendidik Awal Kanak-Kanak Kedah, Ku Rahmah Ku Bahari berkata, kebanyakan pengusaha taska belum bersedia beroperasi disebabkan prosedur operasi standard (SOP) ketat selain enggan berdepan risiko penularan jangkitan Covid-19.

"Kami berpandangan taska tidak perlu dibuka dalam masa terdekat sebaliknya perlu dibuka sama dengan sesi persekolahan.

"Biarlah negara bebas sepenuhnya dari wabak Covid-19 kerana kanak- kanak berisiko tinggi dijangkiti. Malah sukar untuk kita pastikan mereka patuhi penjarakan sosial ketika bersama rakan di taska," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Ku Rahmah berkata, walaupun pengusaha taska dibenarkan beroperasi menggunakan kesemua kapasiti pekerja, namun mereka tertakluk kepada pematuhan SOP yang digariskan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Bukan semua pengusaha mampu patuhi SOP ketat itu, jadi lebih baik beroperasi ketika keadaan benar-benar selamat dan tiada lagi SOP berkenaan. Lagipun sekarang tiada jaminan wabak itu sudah tiada.

"Untuk kembali beroperasi dalam masa sekarang, banyak aspek perlu diberikan perhatian antaranya proses nyahkuman premis, persediaan pekerja serta perakuan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Kekangan lain yang dihadapi termasuk pekerja taska perlu buat saringan kesihatan untuk pastikan bebas Covid-19 yang akan meningkatkan kos," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ku Rahmah berkata, risiko paling besar kemungkinan dihadapi adalah berdepan taska ditutup sekiranya terdapat kes positif Covid-19.

"Kelak taska akan dipersalahkan dan diarah tutup, ia akan jejaskan nama baik taska selain risiko hilang pendapatan.

"Saya juga bimbang ibu bapa gagal patuhi SOP penghantaran anak ke taska, yang mungkin akan tingkatkan risiko," katanya.

Beliau yakin ramai ibu bapa belum bersedia menghantar anak mereka ke taska bagi mengelak risiko jangkitan.

"Hanya segelintir yang akan hantar anak ke taska mungkin kerana tiada pilihan.

"Alternatif penggiliran menjaga anak antara suami isteri adalah pilihan terbaik buat masa ini," katanya.

Isnin lalu, taska di seluruh negara dibenarkan beroperasi merangkumi pematuhan aspek penjarakan sosial, mengamalkan kebersihan diri dan keperluan melakukan operasi nyahcemar di premis sekurang-kurangnya dua kali sehari.

Berdasarkan SOP MKN, aktiviti dibahagikan kepada empat tindakan, iaitu sebelum, semasa dan selepas operasi, selain langkah perlu sekiranya wujud kes jangkitan positif di taska.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!