Tempoh kuarantin berbeza bergantung pengesanan kes positif

Dr Noor Hisham bercakap semasa sidang media harian berkenaan jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan hari ini. -Foto Bernama
Dr Noor Hisham bercakap semasa sidang media harian berkenaan jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan hari ini. -Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Tempoh kuarantin yang berbeza dikenakan ke atas individu atau kumpulan bergantung kepada pengesanan kes positif wabak koronavirus (Covid-19) dalam kelompok yang menjalani kuarantin di tempat yang sama.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ini kerana tempoh kuarantin akan ditambah berdasarkan kes tersebut.

Menurutnya, meskipun dalam tempoh empat atau lima hari ujian yang dilakukan didapati negatif tetapi ada individu yang menjalani kuarantin di tempat sama didapati positif, maka tempoh kuarantin akan ditambah atas dasar kontak rapat.

"Jadi, apabila ada pergaulan dalam kuarantin tersebut maka jangka masa bukan 14 hari, jadi akan ditambahkan mungkin yang positif hari ketujuh tetapi keliling mereka akan tambah 14 hari kuarantin.

"Itu yang mungkin ramai yang tidak faham ada yang kuarantin 14 hari dan ada 21 hari, ini bergantung kepada kes positif yang kita kesan.

"Contohnya pelajar yang balik dari Indonesia. Hari pertama positif 70 orang tetapi bila kita pantau dalam tempoh seminggu, 124 orang lagi didapati positif," katanya pada sidang akhbar perkembangan terkini kes Covid-19 di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan bahawa terdapat prosedur operasi standard (SOP) yang berbeza mengenai tempoh kuarantin di salah sebuah madrasah di Melaka.

Mengulas lanjur, Dr Noor Hisham berkata, adalah menjadi keutamaan KKM memastikan rakyat negara ini bebas wabak tersebut.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!