PKPB dilanjut bergantung trend kes pada hari esok atau lusa
PUTRAJAYA - Tempoh dua minggu perkembangan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang bermula Isnin lalu akan menjadi penentu sama ada ia akan dilanjutkan atau tidak selepas 12 Mei nanti.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pemantauan terhadap kes penularan jangkitan koronavirus (Covid-19) akan dibuat setiap hari oleh pihaknya sehingga tamat PKPB.
"Bagaimanapun kita akan lihat perkembangan kes sebelum kemukakan nasihat kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk tindakan seterusnya.
"Kita jangkakan pada 8 Mei (esok) atau 9 Mei ini jika dapat lihat satu trend, nasihat akan diberikan kepada Perdana Menteri untuk ambil tindakan sewajarnya,"katanya pada sidang akhbar perkembangan terkini Covid-19 di Kementeriannya, hari ini.
Beliau berkata, pemantauan pihaknya itu juga bergantung kepada kes harian dan kes kebolehjangkitan.
Dalam pada itu, Noor Hisham berkata, pihaknya memerlukan kerjasama daripada seluruh rakyat Malaysia untuk terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dikeluarkan Kementerian Kesihatan (KKM).
"SOP kita sudah berubah dari duduk di rumah kepada membenarkan rakyat keluar semula bekerja.
"Oleh itu, semua pihak perlu ada disiplin bagi menghindar Covid-19. Wabak itu ada dalam komuniti dan untuk elak kena patuh SOP dan mengamalkan penjarakkan sosial, kerap cuci tangan, elakkan perhimpunan serta perlu memakai penutup mulut dan hidung di tempat awam,"katanya.
Menurutnya, jika rakyat boleh patuh segala SOP dikeluarkan KKM, penularan jangkitan Covid-19 akan dapat dikawal.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!