Ziarah Aidilfitri tidak dibenarkan
KUALA LUMPUR - Pergerakan untuk menyambut hari raya antara daerah masih tidak dibenarkan kerana ia masih disenaraikan dalam perkara yang dilarang dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Dalam satu wawancara bersama Berita Harian, Menteri Kanan Keselamatan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, buat masa ini, kerajaan membenarkan pergerakan tanpa had masa antara daerah tetapi ziarah untuk hari raya masih tidak dibenarkan.
Bagaimanapun katanya, tidak semua pergerakan dibenarkan pada masa ini termasuklah aktiviti sosial dan sukan.
"Contohnya, permainan bola sepak masih tidak dibenarkan kerana ia berada dalam senarai negatif namun sukan lain seperti badminton dan golf dibenarkan.
"Seperti diumumkan Perdana Menteri pulang ke kampung untuk berhari raya tidak dibenarkan," katanya.
Dalam perkembangan lain, Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahanan menasihatkan orang ramai meneruskan kawalan kendiri walaupun PKPB memberi banyak kelonggaran pergerakan.
Katanya, disiplin dan tanggungjawab terhadap keselamatan dan kesihatan diri, keluarga dan masyarakat adalah terletak di tangan kita sendiri.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!