Kenaikan tarif air didik pengguna jimat air

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Langkah kerajaan untuk menaikkan tarif air mulai tahun ini dilihat akan membolehkan operator air mampu meningkatkan prestasi pengurusan dan penyelenggaraan, sekali gus menampung pembekalan air terawat berkualiti kepada pengguna.

Presiden Persatuan Pengguna Air dan Tenaga Malaysia (WECAM) T. Saravanan berkata ia adalah wajar, walaupun langkah itu rata-ratanya tidak diterima baik oleh banyak pihak yang melihatnya akan membebankan lagi kos sara hidup.

“Selama ini, isu ini dipolitikkan dan ia tidak dilihat dari sudut yang luas. Ia sepatutnya tidak berlaku kerana satu hari, mahu atau tidak, tarif air terpaksa juga dinaikkan.

“Jika kita melihat kepada operator air, pendapatan mereka tidak mencukupi untuk menampung perbelanjaan operasi, termasuk melakukan penyelenggaraan terhadap semua kemudahan bagi membekalkan air bersih terawat kepada pengguna,” katanya kepada Bernama.

Beliau berpendapat peningkatan tarif air akan membolehkan syarikat air membuat perbelanjaan kapasiti untuk meningkatkan kecekapan termasuk dengan menggantikan paip-paip lama, menggunakan teknologi baharu dalam penyelenggaraan serta pengurusan loji rawatan.

Pada Rabu, Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Dr A. Xavier Jayakumar dilaporkan berkata kebanyakan kerajaan negeri bersetuju untuk menaikkan tarif air tahun ini.

Pulau Pinang, yang menjadi pengguna air terbesar dalam negara iaitu 280 liter kapita sehari pada 2017, mengesahkan akan menaikkan tarif air negeri sehingga 20 peratus, manakala setakat ini, Johor dan Sabah menyatakan ia tidak akan menaikkan tarif air.

Mengenai pengurusan sumber air, Saravanan berkata masyarakat harus mengubah sikap terhadap cara penggunaan air, agar lebih cermat kerana secara purata, penggunaan air di Malaysia ialah 208 liter per kapita sehari, berbanding 165 liter yang disarankan Pertubuhan Kesihatan Sedunia.

Artikel Berkaitan:

"Akses kepada air yang bersih dan terawat adalah hak semua pihak, tapi rakyat Malaysia rata-rata tidak tahu menghargai air, kita banyak membazir air. Kira-kira 65 peratus daripada air bersih yang terawat digunakan untuk aktiviti seperti mencuci kereta, dan berkebun, manakala aktiviti memasak dan kegunaan kebersihan diri mengambil kira-kira 20 hingga 25 peratus penggunaan air setiap hari,” tambahnya.

Beliau berkata faktor perubahan cuaca yang memberi kesan buruk kepada sumber air harus diberi perhatian dan ia menuntut kepada keperluan untuk mengurus komoditi penting ini dengan lebih cekap.

Katanya pengguna boleh beralih kepada penggunaan barangan elektrik yang bersifat cekap air dalam usaha mengurangkan penggunaan air dan seterusnya bil air, apabila langkah itu berkuat kuasa. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!