Pesakit mental mengamuk guna parang, pemutar skru
SIK - Seorang lelaki ditahan kerana mengamuk menggunakan parang dekat titi Jeniang-Sik dalam kejadian kira-kira jam 2 petang tadi.
Ketua Polis Daerah Sik, Deputi Superintendan Abdul Razak Osman berkata, suspek berusia 47 tahun itu memegang parang dan pemutar skru sebelum mengganggu lalu lintas di kawasan berkenaan.
"Lelaki itu bertindak agresif di tengah-tengah titi yang menghubungkan antara Kuala Muda dan Sik itu.
"Dia juga menendang bahagian kanan berdekatan tayar kenderaan polis hingga kemik sebelum dia ditahan," katanya.
Menurutnya, semakan mendapati lelaki itu ialah pesakit mental dan pernah mendapat rawatan di Hospital Sik.
"Polis merampas sebilah parang dan pemutar skru dalam kejadian itu sementara lelaki berkenaan dibawa ke hospital untuk pemeriksaan lanjut," katanya.
Dalam pada itu, kejadian tersebut mendapat perhatian pengguna jalan raya dan turut tular di media sosial.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!