Jadikan al-Quran sebagai sahabat

Hashim (empat dari kanan) bersama Zainuddin (dua dari kiri) pada Program Penyerahan Wakaf Al-Quran di IPK Kedah kelmarin.
Hashim (empat dari kanan) bersama Zainuddin (dua dari kiri) pada Program Penyerahan Wakaf Al-Quran di IPK Kedah kelmarin.
A
A
A

ALOR SETAR - Polis Kedah menerima 1,500 naskhah al-Quran daripada Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) sempena Program Wakaf Al-Quran AlHarmain di sini kelmarin.

Ketua Polis Kedah, Datuk Zainuddin Yaacob berkata, pihaknya menghargai sumbangan berkenaan dan berharap anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) di negeri itu menjadikan al-Quran sebagai sahabat dan panduan dalam hidup mereka.

“Apabila mendekati al-Quran, hati akan menjadi lebih tenang dan dapat melaksanakan tugas yang diamanahkan dengan lebih produktif,” katanya pada sidang akhbar selepas kunjungan hormat dan Penyerahan Wakaf Al-Quran yang disampaikan Sekretariat Program Wakaf al-Quran WUIF, Hashim Anang di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah.

Program Wakaf Al-Quran berkenaan turut mendapat sokongan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), TV Alhijrah, Majlis Dakwah Negara, Ideaktiv dan Sinar Harian untuk diedarkan kepada petugas barisan hadapan melawan koronavirus (Covid-19).Zainuddin berkata, polis Kedah akan memberi sokongan terhadap Program World #QuranHour yang akan mentaddabur surah Ar-Rahman pada 13 Mei depan.

Sementara itu, Hashim berkata, sumbangan ini sebagai sokongan dan dorongan penyumbang wakaf untuk memperkukuhkan spiritual dan emosi petugas barisan hadapan.

Beliau yang juga Pengurus Kanan Tugas-Tugas Khas Kumpulan Karangkraf yakin al-Quran tersebut dapat dimanfaatkan oleh anggota polis di semua daerah di Kedah dengan mewujudkan al-Quran Corner.

“Pada masa sama dapat dikongsi dengan orang ramai yang berurusan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD),” katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!