Ketupat sotong hidangan nostalgia setiap kali Ramadan

Rupa ketupat sotong yang harum dan penuh rasa lemak.
Rupa ketupat sotong yang harum dan penuh rasa lemak.
A
A
A

SHAH ALAM – Setiap kali tibanya Ramadan pasti juadah berbuka menjadi keutamaan ibu-ibu di rumah untuk disajikan kepada keluarga tercinta.

Pendakwah yang juga Ahli Dewan Negara, Asmak Husin berkongsi beberapa jenis juadah istimewa beliau sekeluarga setiap kali tibanya Ramadan.

Katanya, apabila tiba sahaja Ramadan, terus terimbau menu-menu berbuka yag selalu disajikan ibunya, Wan Mariam Wan Chik kepada beliau dan tujuh beradiknya.

“Sungguh menggamit kenangan juadah berbuka yang disajikan ibu dan semuanya adalah menu tradisional masyarakat Kelantan.

“Juadah seperti nasi kerabu, ketupat sotong dan Nasi Minyak Makkah menjadi menu wajib kami sejak kecil lagi dan ia turut menjadi hidangan yang perlu ada dalam sebulan Ramadan walaupun masing-masing telah berumah tangga,” katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.

Anak kelahiran Kampung Tapang, Kota Bharu itu berkata, hidangan ketupat sotong sentiasa menjadi permintaan suami dan anak-anaknya.

“Tahun ini, seluruh umat Islam di negara ini berpuasa dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan masing-masing perlu berada di rumah bersama keluarga, begitu juga dengan saya, jadi untuk menggamit kenangan berbuka puasa bersama ibu bapa dan adik beradik saya masakkan ketupat sotong untuk suami dan anak-anak.

“Tambahan pula, bulan Ramadan ini air tangan ibulah yang paling dirindui dan insya-ALLAH hidangan ini akan jadi hidangan turun temurun buat keluarga kami,” tuturnya di akhir bicara.

Artikel Berkaitan:

RESIPI KETUPAT SOTONG

- Beras pulut

- Sotong bersaiz sederhana

- Beberapa helai daun pandan

- Santan pekat

- Garam

- Gula

- Gula Melaka

Cara masak:

Rendam pulut dengan santan dan masukkan sedikit garam dalam tempoh setengah jam, toskan pulut, bersihkan sotong dan masukkan sedikit beras pulut dalam anggaran 1/3 sukat kemudian cucukkan dengan menggunakan lidi antara badan dan kepala sotong supaya tidak terburai isinya. Kemudian susun daun pandan di bahagian bawah periuk supaya tidak melekat sotong yang diisikan beras pulut tadi.

Kecilkan api dan taburkan sedikit beras pulut di atas sotong berkenaan dan masukkan santan dengan kuantiti separa dengan kedudukan sotong (jangan banyak sangat sebab sotong mengeluarkan air), yang terakhir masukkan gula Melaka. Pastikan ketupat sotong dimasak dengan bukaan api yang kecil supaya pulut itu masak dengan secukupnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!