Nenek maut ditikam di hadapan rumah
PASIR PUTEH - Seorang wanita warga emas maut ditikam dalam kejadian ragut dan bunuh di hadapan rumahnya di Kampung Tok Kamis, di sini petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang itu, Azizah Mohamed, 82, ditemui dalam keadaan terbaring berlumuran darah oleh menantunya.
Difahamkan mangsa sempat dikejarkan ke Hospital Tengku Anis untuk mendapatkan rawatan bagaimanapun disahkan meninggal dunia pada jam 8 malam.
Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Deputi Superintendan Mohd Azmir Damiri berkata, mangsa ditemui terbaring di tepi tangga rumah oleh menantunya, Musliza Mohammad, 43, pada jam 6.10 petang.
"Ketika kejadian hanya mangsa dan seorang anak perempuannya berusia 40 tahun yang merupakan orang kurang upaya (OKU) berada di rumah.
"Sementara seorang lagi anak dan menantunya keluar untuk mengambil juadah berbuka puasa yang telah ditempah," katanya pada sidang media di Hospital Tengku Anis di sini malam tadi.
Mohd Azmir berkata, selain kesan dua tikaman pada bahagian dada mangsa turut mengalami kecederaan di kening sebelah kanan.
Katanya, hasil pemeriksaan mendapati seutas rantai milik mangsa turut hilang dalam kejadian tersebut.
"Kami tidak menolak kemungkinan kejadian ini dilakukan lebih daripada seorang suspek.
"Usaha mengesan suspek terlibat dan senjata yang digunakan dalam kejadian ini sedang giat dilakukan," katanya.
Sementara itu, adik bongsu mangsa, Selma Mohamed, 60, berkata, kejadian yang menimpa kakaknya itu diketahui pada jam 9.30 malam selepas selesai menunaikan solat tarawih.
Katanya, sejurus mendapat perkhabaran sedih itu dia dan suami terus ke hospital.
"Arwah merupakan anak sulung dari lima beradik dan mempunyai 10 orang cahaya mata. Bagaimanapun dia merupakan seorang ibu tunggal selepas arwah suaminya meninggal dunia 20 tahun lalu.
"Sungguhpun berusia 82 tahun, kakak masih lagi kuat dan mampu melakukan kerja-kerja ringan," katanya.
Menurutnya, kali terakhir mereka berbual beberapa hari lalu kakaknya itu melahirkan hasrat untuk memberikan ubi yang ditanam kepadanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!