Jual gula mahal, premis dikompaun RM5,000
KUALA LUMPUR - Akibat menjual gula 1 kilogram (kg) melebihi harga kawalan ditetapkan, sebuah premis di sini dikompaun RM5,000 kelmarin.
Ketua Penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Elwal Pengguna (KPDNHEP) Kuala Lumpur, Azeem Nazuri berkata, kesalahan itu dikesan pihaknya semasa melakukan operasi di ibu negara bermula kira-kira jam 11.30 pagi.
Menurutnya, dalam operasi sama, dua premis di Bukit Bintang masing-masing dikenakan kompaun RM2,000 kerana gagal meletakkan tanda harga bagi gula 1kg dan ikan.
"Kesalahan disiasat di bawah Seksyen 11 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dan juga kesalahan di bawah Peraturan 3(1) Perintah Kawalan Harga (PHOPR) 1993.
"Kompaun tinggi dikenakan kerana ada peniaga yang masih gagal mematuhi undang-undang walaupun sentiasa diberi peringatan dan amaran sekali gus menjadi peringatan kepada peniaga lain supaya tidak mengambil kesempatan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini," katanya.
Beliau berkata, sepanjang tempoh PKP bermula 18 Mac sehingga 6 Mei, sebanyak 1,926 premis diperiksa dengan merekodkan 17 kes dengan nilai kompaun mencecah RM17,600.
Justeru, katanya, penguat kuasa KPDNHEP Kuala Lumpur akan terus membuat pemantauan dan pemeriksaan di premis-premis perniagaan.
"Peniaga diingatkan supaya tidak melanggar undang-undang, sekiranya dikesan ingkar, mereka akan dikenakan kompaun tinggi," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!