Ludah polis, jerit mengaku positif Covid-19
MANCHESTER - Akibat dipercayai tertekan dengan pelaksanaan perintah berkurung di sini, seorang lelaki bertindak menjerit mengatakan dirinya penghidap koronavirus (Covid-19).
Bukan itu sahaja, lelaki berusia 31 tahun dikenali Jamie Mc Adam itu turut meludah beberapa kali ke arah seorang anggota polis dan pengawal keselamatan yang membantunya kerana mahu mereka dijangkiti Covid-19.
Menurut laporan Mirror, anggota polis dan pengawal keselamatan berkenaan pada awalnya ingin membantu lelaki itu yang berbaring di atas jalan raya yang sesak dengan kenderaan.
"Saya menghidap koronavirus, saya harap awak mati disebabkannya," jeritnya.
Tidak cukup dengan itu, dia kemudiannya meludah pula kepada seorang anggota polis.
"Saya memang menghidapinya, saya telah pergi ke hospital.
"Saya menghidap koronavirus dan telah didiagnosis dengannya. Lihatlah, saya akan jangkitkan awak," katanya lagi.
Menurut Jamie McAdam, kakaknya merupakan salah seorang korban akibat Covid-19.
Dia kemudiannya telah ditahan dan dijatuhkan hukuman penjara setelah mengaku bersalah di Mahkamah Manchester Crown di England.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!