Remaja OKU ditemukan lemas
KEMAMAN- Seorang remaja orang kelainan upaya (OKU) pembelajaran yang dipercayai tergelincir ke dalam Sungai Cerul, Chukai, di sini ditemukan lemas hari ini.
Mayat Muhammad Al Hadi Samsuri, 13, ditemui anggota yang mengikuti operasi mencari dan menyelamat (SAR), jam 11 pagi di loji air Cheneh, di sini iaitu kira-kira 9 kilometer (KM) dari tempat mangsa tergelincir, Rabu lalu.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, mayat mangsa ditemukan tersangkut di belukar tebing sungai berkenaan.
Beliau berkata, susulan penemuan mangsa operasi SAR yang dilancarkan sejak kehilangan remaja terbabit dilaporkan, ditamatkan jam 2 petang ini.
"SAR dijalankan selepas menerima maklumat kejadian jam 3 petang Rabu lalu membabitkan 45 anggota dengan menggunakan 10 buah bot melalui kaedah di permukaan air.
"Operasi turut disertai Pasukan Bomba dan Penyelamat dari Balai Cheneh, di sini dan penduduk setempat," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.
Katanya, mayat mangsa yang ditemukan dalam proses pereputan awal dihantar ke Unit Forensik Hospital Kemaman untuk bedah siasat selepas pengecaman awal daripada keluarga dibuat.
Media sebelum ini melaporkan seorang remaja OKU dikhuatiri lemas selepas mandi bersama abangnya di Sungai Cerul, Chukai, di sini, kira-kira jam 3 petang, Rabu lalu.
Mangsa dikatakan mandi di tebing sungai sebelum tergelincir ke dalam sungai tetapi ketika kejadian, abangnya sempat memegang tangannya sebelum terlepas dan dihanyutkan arus deras.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!