Permohonan LHDN untuk penghakiman terus kes cukai Najib ditangguh
KUALA LUMPUR - Pendengaran permohonan Lembaga Hasil Dalam Negeri untuk penghakiman terus berhubung saman dikemukakan terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bagi menuntut cukai pendapatan berjumlah RM1.69 bilion ditangguhkan ke 22 Jun depan.
Penghakiman terus adalah kes diputuskan melalui hujahan tanpa mendengar keterangan saksi pada perbicaraan.
Peguam Najib, Muhammad Farhan Muhammad Shafee berkata, Mahkamah Tinggi telah menetapkan tarikh baharu selepas permohonan LHDN yang sepatutnya didengar pada 5 Mei dikosongkan berikutan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) oleh kerajaan.
“Mahkamah menetapkan tarikh baharu semasa prosiding e-Review dan permohonan itu akan didengar pada 2 petang di hadapan Hakim Datuk Ahmad Bache,” katanya kepada Bernama melalui pesanan WhatsApp hari ini.
Prosiding e-Review adalah modul dalam talian yang membolehkan pengurusan kes dikendalikan tanpa perlu hadir secara fizikal di mahkamah.
Pada 28 Februari lepas, mahkamah menolak permohonan Najib bagi menangguhkan prosiding saman LHDN terhadapnya untuk membayar cukai pendapatan berjumlah RM1.69 bilion, sementara menunggu rayuannya berhubung taksiran cukai kepada LHDN.
Pada 8 Ogos tahun lepas, Najib, memfailkan permohonan untuk menangguhkan prosiding saman oleh LHDN.
Bagaimanapun, LHDN dalam afidavit sokongannya berkata, Najib masih perlu membayar jumlah RM1.69 bilion itu walaupun beliau telah memfailkan rayuan berhubung taksiran cukai itu.
Penolong Pengarah Unit Pemantauan LHDN Hisyamuddin Mohd Hassan, dalam afidavit sokongannya berkata, mengikut Seksyen 103 Akta Cukai Pendapatan 1967, semua cukai yang ditaksir perlu dibayar pada hari notis taksiran diserahkan, sama ada orang itu mengemukakan rayuan atau sebaliknya berhubung taksiran cukai.
Pada 25 Jun 2019, kerajaan menerusi LHDN, menyaman Ahli Parlimen Pekan itu dan menuntut beliau membayar RM1.69 bilion bagi cukai pendapatan yang belum dibayar, kadar faedah lima peratus setahun dari tarikh penghakiman, kos dan relief lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.- Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!