Pembangkang henti berpolitik, tumpu kebajikan rakyat: Shahir
KOTA BHARU – Menjelang persidangan Dewan Rakyat akan datang, Pemuda Ikatan Malaysia (DPIM) menggesa agar ahli-ahli politik memberikan tumpuan khusus kepada kebajikan rakyat yang dihimpit pelbagai masalah ketika ini.
Ketuanya, Shahir Adnan berkata, keadaan politik di Malaysia kembali bergegar dengan beberapa usul melibatkan undi tidak percaya kepada pemimpin nombor satu negara kini mula diperkatakan.
Bagaimanapun, beliau berkata, ia tidak sepatutnya menjadi wadah utama perbincangan, sebaliknya keadaan semasa rakyat seharusnya menjadi fokus kerana mereka sedang terbeban dengan impak wabak koronavirus (Covid-19).
“Kemelesetan ekonomi, kejatuhan harga minyak dunia, hilang peluang pekerjaan, dan terpaksa bergadai harta benda demi kelangsungan hidup.
“Berlaku ihsan kepada rakyat agar kerajaan dan perdana menteri dapat memberi fokus kepada agenda rakyat, bukan agenda politik peribadi sesetengah pihak,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurutnya, dalam keadaan hari ini, rakyat dilihat mahukan pemimpin yang mampu menerajui negara ketika krisis dan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama jemaah menteri yang ada terbukti berjaya menangani krisis dengan bijaksana dan berhemah.
Beliau turut mempersoalkan, di saat negara berkemungkinan menghadapi gelombang baharu wabak Covid-19, mengapa segelintir ahli politik Pakatan Harapan seolah-olah rakus mendambakan kuasa tanpa memikirkan implikasi kepada rakyat dalam situasi genting semasa.
“Kami menyeru ahli-ahli parlimen pembangkang hari ini untuk fokuskan tenaga, masa dan keringat kepada rakyat di kawasan masing-masing.
“Masa yang diberikan selama 22 bulan mereka memerintah Malaysia telah dipersia-siakan dengan janji harapan palsu yang ditabur. Masa kalian semua telah tamat di saat Perdana Menteri Pakatan Harapan meletak jawatan dan meranapkan kerajaan Pakatan Harapan itu sendiri.
“Kerajaan Perikatan Nasional ditubuhkan demi kelangsungan pentadbiran Kerajaan Persekutuan. Rakyat juga tidak seharusnya dibebankan dengan percakaran dalaman parti politik, khususnya Bersatu yang kini berpecah kepada dua kem.
“Perpecahan ini juga bakal menjadi titik bersejarah dalam sidang parlimen kali ini kerana Pengerusi dan Presiden parti berada di pihak kerajaan dan pembangkang.
“Berhentilah bergaduh dalam rumah tangga sendiri secara terbuka kerana rakyat sudah muak dan mual dengan keadaan percakaran politik Pakatan Harapan,”katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!