Speaker Pahang serah notis kekosongan DUN Chini kepada SPR
KUANTAN - Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang, Datuk Seri Ishak Muhammad, hari ini menyerahkan notis kekosongan DUN Chini kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) ekoran kematian penyandangnya, Datuk Seri Abu Bakar Harun.
Notis itu diserahkan kepada Timbalan Pengarah (Operasi) SPR Pahang, Ahmad Fadzli Rohimi Suhaimi, yang mewakili pengarahnya Datuk Zamree Hamli pada 11.15 pagi di Wisma Sri Pahang di sini.
Penyandang DUN Chini, Datuk Seri Abu Bakar Harun, 60, meninggal dunia pada 11.55 malam kelmarin di Hospital Kuala Lumpur, akibat serangan jantung selepas terjatuh dan mengalami sesak nafas di Bangsar.
Pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14, Abu Bakar mempertahankan kerusi DUN Chini dengan majoriti 4,622 undi menewaskan calon Pas Mohd Fadhil Noor yang memperoleh 5,405 undi manakala calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) Mohamad Razali Ithnain dari PKR hanya mendapat 1,065 undi.
Abu Bakar yang ketika itu memperoleh 10,027 undi merupakan penyandang kerusi DUN tersebut sejak PRU ke-11, pada tahun 2004.
DUN Chini merupakan satu daripada empat DUN di bawah Parlimen Pekan, yang disandang bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!