Rentas negeri dibenarkan empat hari sahaja: Ismail Sabri
PUTRAJAYA - Pergerakan merentas negeri dibenarkan dalam tempoh empat hari sahaja iaitu bermula semalam hingga Ahad ini dan selepas itu kebenaran rentas negeri hanya dibenarkan untuk kes kecemasan.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kebenaran untuk kes kecemasan itu adalah seperti perubatan atau kematian ahli keluarga terdekat.
Menurutnya, individu yang memerlukan kebenaran pergerakan rentas negeri tersebut boleh memohon di balai polis berhampiran.
"Kebenaran rentas negeri ini adalah untuk empat hari sahaja dan bermula hari ini hanya perjalanan sehala dibenarkan.
"Bagaimanapun, pergerakan rentas negeri untuk bekerja kita benarkan. Contohnya jika individu tinggal di Nilai, tapi bekerja di Putrajaya, mereka dibenarkan bergerak tetapi perlu ada surat kebenaran atau pelepasan dari majikan dan surat itu perlu ditunjukkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) jika diminta," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media (Non Health) selepas Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, bagi pergerakan rentas negeri yang bermula semalam, PDRM telah memberi sebanyak 26,181 kebenaran melalui aplikasi Gerak Malaysia dan 6,304 kebenaran melalui borang manual polis bagi mereka yang terkandas di Kuala Lumpur untuk pulang ke kediaman mereka di negeri-negeri lain.
Menurutnya, laporan PDRM menunjukkan pergerakan rentas negeri semalam berjalan lancar dan ramai pengguna jalan raya bertolak pada awal pagi selepas sahur.
"Di kawasan rehat dan rawat (R&R), situasi adalah terkawal dan kadar pematuhan orang ramai kepada arahan PDRM semasa perjalanan rentas negeri adalah memuaskan.
"Bagi pergerakan rentas negeri hari ini, PDRM telah memberi 70,538 kebenaran bagi mereka yang berada di Perak, Johor dan Kelantan untuk pulang ke kediaman masing-masing," katanya.
Ismail Sabri memberitahu, esok pula sebanyak 54,151 kebenaran telah dikeluarkan bagi pergerakan rentas negeri yang melibatkan mereka yang berada di Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Melaka dan Pahang.
Katanya, bagi mereka yang berada di Selangor, Negeri Sembilan dan Terengganu, 77,836 kebenaran telah dikeluarkan untuk pergerakan rentas negeri pada Ahad ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!