RM100 juta bantu syarikat terjejas Covid-19: Khairy
PUTRAJAYA - Kementerian Kewangan telah memperuntukkan dana sebanyak RM100 juta kepada Malaysia Debt Ventures Bhd (MDV) bagi program pembiayaan Kemudahan Bantuan Pembiayaan Pemula Niaga Teknologi (TSFRF) untuk membantu syarikat pemula niaga dalam sektor teknologi yang terjejas akibat pandemik Covid-19.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin berkata, program pembiayaan TSFRF itu yang akan bermula pada 15 Mei depan dijangka dapat dimanfaatkan antara 60 dan 80 syarikat pemula niaga teknologi tempatan, dengan jumlah maksimum pembiayaan dihadkan kepada RM2.5 juta.
Kemudahan kendalian MDV itu, yang merupakan agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menyediakan bantuan kewangan bagi menampung aliran tunai sekali gus memastikan kelangsungan operasi perniagaan syarikat yang akan dipilih.
"Ini adalah satu usaha untuk kita untuk meringankan beban syarikat-syarikat start up (pemula niaga) dan kita akan pastikan segala fi seperti fi guaman, kos tambahan dan sebagainya dikecualikan.
"Proses permohonan untuk tabung ini dibuat dengan paling mudah,” katanya pada satu sidang media yang turut dihadiri Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz di sini hari ini.
Khairy berkata, proses permohonan akan lebih pendek dengan tempoh penilaian yang singkat dan pengeluaran dana yang cepat tanpa kompromi dari segi penilaian kredit daripada pihak MDV.
Menurutnya, syarikat yang ingin memohon pembiayaan tersebut perlu memenuhi empat kriteria iaitu kedudukan strategik yang baik, kedudukan daya saing, potensi pertumbuhan dan penilaian kredit.
Beliau berkata, hasil tinjauan Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (MaGIC) mendapati lebih 50 peratus syarikat pemula niaga di Malaysia memerlukan antara RM500,000 hingga RM1 juta bagi memastikan kelestarian operasi perniagaan mereka sepanjang tahun ini.
Ditanya sama ada dana RM100 juta itu mencukupi untuk membantu syarikat pemula niaga, Khairy berkata, buat masa ini jumlah itu mencukupi dan memadai untuk membantu sebahagian besar syarikat pemula niaga yang berpotensi untuk meneruskan kelangsungan operasi.
Sementara itu, Tengku Zafrul berkata Kementerian Kewangan akan mempertimbangkan untuk menambah dana pinjaman itu sekiranya jumlah permohonan yang diterima tinggi.- Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!