Pusat beli-belah antara dibenar kembali beroperasi di Pahang

Pusat beli-belah antara yang dibenar kembali beroperasi di Pahang. (Gambar kecil: Sallehuddin Ishak)
Pusat beli-belah antara yang dibenar kembali beroperasi di Pahang. (Gambar kecil: Sallehuddin Ishak)
A
A
A

KUANTAN - Beberapa sektor termasuk operasi pusat beli-belah, restoran, kilang, gerai makanan, hentian rehat dan rawat (R&R), premis dobi layan diri dan aktiviti riadah di negeri ini dibenarkan kembali beroperasi dengan beberapa syarat pengoperasian yang perlu dipatuhi.

Selain itu, waktu operasi stesen minyak kembali mengikut kebenaran lesen sedia ada sebagai mana kelulusan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Keputusan itu dicapai selepas kerajaan negeri mengesahkan persetujuan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) setelah mengkaji, memperhalusi dan melakukan pengubahsuaian wajar ke atas prosedur operasi standard (SOP) berkaitan.

Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak berkata, ia diputuskan kerajaan Persekutuan, Pihak Berkuasa Negeri (PBN) bersama Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri (JKKN) yang bermesyuarat di sini hari ini.

Menurutnya, keputusan itu bagaimanapun hanya tertakluk kepada premis yang berada dalam kawasan zon hijau selain mematuhi syarat-syarat am operasi termasuk pekerja bebas jangkitan wabak koronavirus (Covid-19) dan mengamalkan langkah-langkah keselamatan dan pencegahan.

“Waktu operasi pusat beli-belah ditetapkan bermula jam 7 pagi hingga 7 petang melibatkan aktiviti perniagaan dari sektor yang dibenarkan sahaja manakala operasi berbentuk hiburan dan permainan seperti panggung wayang, snuker dan permainan indoor tidak dibenarkan.

“Selain itu beberapa syarat turut digariskan bagi operasi pusat beli-belah termasuk kapasiti petak parkir yang boleh digunakan di setiap kompleks perniagaan dihadkan kepada 50 peratus sahaja pada satu-satu masa selain menghadkan laluan pintu masuk ke kompleks,” katanya melalui satu kenyataan di sini hari ini.

Dr Sallehuddin berkata, kerajaan negeri membenarkan restoran beroperasi dengan syarat jarak antara meja dua meter dan jarak antara kerusi pelanggan satu meter dengan waktu operasi pada Ramadan ini bermula 12 tengah hari hingga 12 tengah malam dan waktu operasi pada bulan biasa ditetapkan bermula jam 7 pagi hingga 7 petang sahaja.

Sementara waktu operasi bagi premis restoran bukan Islam bermula 7 pagi hingga 7 petang.

Artikel Berkaitan:

“Kilang juga dibenarkan beroperasi seperti syarat lesen dengan semua pekerja dibenarkan kembali bekerja,” katanya.

Beliau berkata, bagi aktiviti riadah, hanya sukan golf dibenarkan dengan beberapa syarat ditetapkan manakala berjoging hanya dibenarkan di taman perumahan secara sendirian dengan penjarakkan 10 meter dengan individu lain. Turut dibenarkan aktiviti bermotosikal dan berbasikal.

Justeru, katanya, Pihak Berkuasa Negeri Pahang bersama JKKN memutuskan supaya semua PBT memantau semua perusahaan, perniagaan dan aktiviti berdasarkan SOP yang telah diputuskan.

“JKKN juga bersetuju menubuhkan pasukan penguatkuasa bersama dianggotai Jabatan Kesihatan Negeri, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Unit Penguatkuasaan Negeri dan jabatan-jabatan lain bagi mengelak pertindihan fungsi yang boleh mengelirukan orang ramai dan pengusaha premis.

“Lawatan pemantauan akan dilaksanakan secara bersama, tetapi setiap penguat kuasa mempunyai bidang kuasa tersendiri,” katanya.

Menurutnya, sebarang kesalahan dan pelanggaran pematuhan pengoperasian boleh dikenakan tindakan atau hukuman mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) atau Seksyen 101(v), Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171), atau kedua-duanya sekali.

INFO

Syarat Pengoperasian Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Pahang

Syarat-syarat Am Operasi Premis

a) Premis yang hendak dibuka semula mestilah berada dalam zon hijau sahaja (zon merujuk kepada mukim, bandar dan pekan mengikut Seksyen 11, Kanun Tanah Negara 1965)

b) Semua pekerja yang berada di dalam premis hendaklah menjalani saringan dan bebas daripada jangkitan Covid-19. Saringan pekerja mestilah ditanggung oleh pihak majikan/syarikat terutamanya untuk ujian Covid-19.

c) Saringan suhu badan pekerja hendaklah dibuat setiap hari dan direkodkan.

d) Menjalankan saringan suhu badan ke atas semua pelanggan, pelawat dan semua yang berurusan di premis dan direkodkan dengan mencatatkan data pelanggan termasuk nama, alamat dan nombor telefon.

e) Premis hendaklah dinyah kuman setiap hari.

f) Menyediakan hand sanitizer untuk semua pekerja dan pelanggan.

g) Semua pekerja dan pelanggan hendaklah memakai penutup mulut dan hidung sepanjang masa semasa berada di dalam premis.

h) Tiada waktu rehat pekerja serentak.

i) Premis yang mempunyai 10 pekerja ke atas hendaklah menubuhkan Jawatankuasa Tindak Balas Kecemasan (Emergency Response Team)

2. Syarat-syarat Khusus Operasi Premis

I. Restoran

i) Jarak antara meja: 2 meter.

ii) Jarak antara kerusi pelanggan: 1 meter.

iii) Waktu operasi (Bulan Ramadan): Muslim (12 tengah hari–12 tengah malam), bukan Muslim (7 pagi–7 petang).

iv) Waktu operasi (Luar Ramadan): 7 pagi–7 petang.

II. Kilang yang Dibenarkan Beroperasi Sebelum 4 Mei 2020

i) Semua kilang dibenarkan beroperasi pada kadar 100 peratus daripada jumlah keseluruhan pekerja sehingga semua pekerja lulus saringan Covid-19.

ii) Dibenarkan beroperasi sebagaimana kelulusan lesen.

III. Food Court dan Food Truck

Operasi Food Court dan Food Truck adalah secara bungkus (take away) sahaja buat masa ini.

IV. Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Lebuhraya Karak-KL, LPT 1 dan LPT 2

Operasi R&R dibenarkan dengan syarat-syarat berikut:

i) Restoran: Satu meja hanya dibenarkan untuk seorang pelanggan.

ii) Surau: Surau hanya dibenarkan digunakan oleh pelanggan yang membawa sejadah dan telekung sendiri. Pengurusan Lebuh raya hendaklah meletakkan pengawal bagi menguatkuasakan arahan ini.

iii) Hand sanitizer disediakan di semua kaunter restoran/gerai, surau.

iv) Sabun pencuci tangan hendaklah disediakan di semua sinki, tempat wudhuk dan tandas.

V. Stesen Minyak

i) Waktu operasi adalah menurut kebenaran lesen sedia ada sebagai mana kelulusan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

ii) Hendaklah menyediakan sarung tangan atau hand sanitizer di setiap pam minyak (island).

iii) Setiap nozzle hendaklah dinyah kuman setiap jam.

VI. Tatacara Pasar Awam

- Dibenarkan beroperasi jam 5 pagi hingga 2 petang.

- Pasar hendaklah dinyah cemar setiap hari selepas waktu operasi.

- Memastikan pelanggan:

a) Berada di gerai tidak melebihi 5 minit untuk satu pembelian barang atau tidak melebihi 20 minit untuk lebih 10 barang.

b) Elakkan dari menyentuh barang-barang jualan, memadai dengan meminta peniaga terus membungkus barangan yang hendak dibeli.

c) Penjual hendaklah memberi jaminan untuk mengembalikan wang kepada pembeli sekiranya barang yang dibeli tidak memenuhi kehendak pembeli selagi tidak meninggalkan kawasan pasar.

d) Hanya seorang pelanggan di setiap gerai pada satu masa.

VII. Premis Dobi Layan Diri

1. Waktu operasi jam 7 pagi hingga 7 petang.

2. Menyediakan hand sanitizer.

3. Mesin basuh dan mesin pengering perlu dinyah kuman setiap kali digunakan.

4. Menandakan tempat yang dibenarkan pelanggan berada pada sepanjang masa di dalam premis dengan jarak sekurang-kurangnya 1 meter antara pelanggan

5. Jumlah pelanggan di dalam ruang menunggu hendaklah mengikut keluasan ruang lantai iaitu 5 meter persegi bagi seorang pelanggan.

6. Tidak dibenarkan melipat pakaian di dalam premis.

7. Menyediakan petugas sepanjang masa operasi bagi memastikan pelaksanaan syarat-syarat dipatuhi.

Kompleks membeli- belah

- Waktu operasi jam 7 pagi hingga 7 petang.

- Hanya aktiviti perniagaan dari sektor yang dibenarkan sahaja boleh beroperasi.

- Operasi premis berbentuk hiburan dan permainan seperti Kiddie Ride, Game Centre, panggung wayang, karaoke, snooker, boling, Claw Game dan taman permainan/taman tema indoor yang terdapat di dalam kompleks tidak dibenarkan.

- Kapasiti petak parkir yang boleh digunakan di setiap kompleks perniagaan dihadkan kepada 50 peratus sahaja pada satu-satu masa.

- Menghadkan laluan/pintu masuk ke kompleks. Hanya laluan/pintu masuk melalui kompleks sahaja dibenarkan, pintu masuk melalui premis sewaan (tenant) tidak dibenarkan.

- Penggunaan lif dihadkan mengikut keluasan lif dan mesti dibuat penandaan jarak 1 meter di antara pengguna.

- Penyewaan kiosk/gerai/push cart tertakluk kepada penjarakan (2 meter antara kiosk) pada kadar 50 peratus dari kuantiti sedia ada. Pihak kompleks perlu menyediakan pelan lantai bagi sewaan kiosk/gerai/ push cart.

- Hand Sanitizer/tisu/tong sampah perlu disediakan di setiap lokasi mesin pengeluaran wang (ATM).

- Pelanggan tidak dibenarkan mencuba (fitting) sebarang jenis pakaian dan kasut. Pelanggan juga tidak dibenarkan membuat penukaran/pemulangan semula pakaian yang telah dibeli.

- Premis food court yang terdapat di dalam kompleks boleh beroperasi secara beli dan bungkus atau 'take away' sahaja.

- Kanak-kanak berumur 12 tahun dan ke bawah tidak dibenarkan memasuki bangunan kompleks.

- Kompleks akan ditutup selama tiga (3) hari untuk pembersihan sekiranya terdapat kes positif Covid-19.

- Setiap tandas perlu dibuat sanitasi sekurang-kurangnya 3 kali sehari dan perlu direkodkan dalam buku rekod pembersihan.

- Penggunaan surau hanya terhad kepada kakitangan kompleks dan penyewa premis sahaja tertakluk kepada syarat berikut:

a) Dibuka jam 1.15 tengah hari–6 petang sahaja.

b) Kakitangan perlu membawa sejadah dan telekung sendiri.

c) Sabun pencuci tangan disediakan.

d) Hendaklah melalui proses nyah kuman pada setiap hari.

e) Dihadkan pengguna kepada maksimum 5 orang pada satu-satu masa.

f) Menugaskan pengawal sepanjang waktu dibuka.

Riadah

a) Golf

i) Semua padang golf dan swasta hendahklah mematuhi garis panduan yang ditetapkan oleh MGA serta syarat –syarat berikut:

a) Kelab dibenarkan beroperasi jam 7 pagi – 7 petang sahaja

b) Semua Kelab dikehendaki mengikut semua SOP permainan yang telah ditetapkan.

c) Penggunaan 'driving range' berdasarkan tempahan sahaja dan penggunaan bay secara berselang.

d) Caddy perlu sentiasa memastikan jarak 1 meter daripada pemain sepanjang tempoh permainan.

e) Penjarakan sosial antara pemain ialah 3 meter.

f) Semua kemudahan Kelab seperti gimnasium, kolam renang, surau dan bilik persalinan hendaklah ditutup.

g) Jumlah dan tempoh masa pelanggan berada di Pro Shop perlu dikawal oleh pengurusan Kelab

h) Cafeteria Kelab perlu mematuhi SOP seperti mana yang telah ditetapkan untuk restoran.

i) Jumlah pelanggan di dalam ruang proshop hendaklah mengikut keluasan ruang lantai iaitu 5 meter persegi bagi seorang pelanggan

ii) Tidak dibenarkan menganjurkan sebarang bentuk aktiviti berkumpulan, keraian dan pertandingan.

b) Joging

- Dibenarkan hanya di taman perumahan sahaja.

- Dilakukan secara sendirian (acara berkumpulan, berpasangan atau keluarga tidak dibenarkan).

- Tidak dibenarkan membawa kanak-kanak berumur di bawah umur 10 tahun.

- Penjarakan sosial 10 meter daripada individu lain.

- Tidak dibenarkan menganjurkan sebarang bentuk aktiviti berkumpulan, keraian dan pertandingan.

- Aktiviti tidak boleh dilakukan di jalan raya/persekutuan/negeri/kampung dan semua trek taman hutan.

c) Berbasikal dan Motosikal

i) Tidak dibenarkan melebihi 5 kenderaan.

ii) 1 kenderaan hanya untuk 1 orang sahaja.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!