Polis selesai 10 kes pecah kedai, curi di Jempol

Mohd Khairiel (tengah) menunjukkan barang kes yang dirampas. - Foto ihsan PDRM
Mohd Khairiel (tengah) menunjukkan barang kes yang dirampas. - Foto ihsan PDRM
A
A
A

JEMPOL - Polis Daerah Jempol berjaya menyelesaikan 10 kes pecah kedai dan curi di daerah ini susulan penahanan enam suspek termasuk seorang wanita Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Mohd Khairiel Mohd Arif berkata, kesemua suspek berusia 20 hingga 47 tahun itu ditahan hasil maklumat dan risikan sepasukan polis.

"Suspek ditahan di lokasi berasingan dalam tempoh 24 jam dan hasil siasatan lanjut, dua suspek lelaki mempunyai enam rekod jenayah dan suspek wanita satu rekod jenayah.

"Ia berkaitan culik, samun berkawan, ugutan jenayah, mencuri dan dadah," katanya dalam satu kenyataan kepada Sinar Harian hari ini.

Menurutnya, siasatan mendapati, kumpulan berkenaan mula melakukan kegiatan pecah kedai dan curi pada awal tahun ini dan dipercayai mula aktif ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Beliau berkata, modus operandi suspek ialah bergerak pada waktu tengah malam dan awal pagi dengan menyasarkan gerai Majlis Perbandaran Jempol.

"Hasil kegiatan yang diperoleh akan dijual kepada kedai besi buruk dan kedai kecil.

"Antara barang kes dirampas ialah pemotong besi, lima tong gas, monitor komputer, mesin pemotong rambut dan sebuah lori satu tan dengan jumlah kerugian keseluruhan bernilai RM30,000," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, kesemua suspek ditahan reman sehingga Selasa depan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!