DBKL sita kedai runcit warga asing
KUALA LUMPUR - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menyita sebuah kedai runcit yang diusahakan warga asing di Sri Hartamas di sini selepas menerima aduan pemiliknya beroperasi tanpa kebenaran.
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan berkata, kedai itu dipercayai dimiliki oleh seorang lelaki warga Bangladesh yang berkahwin dengan wanita tempatan.
Menurutnya, sewaktu pemeriksaan dijalankan pagi ini, didapati terdapat tiga lelaki warga asing dari India, Myanmar dan Bangladesh bekerja di kedai berkenaan.
"Kesemua lelaki warga asing itu diserahkan kepada imigresen untuk tindakan lanjut selepas didapati bekerja secara tidak sah dan menghadapi masalah dokumentasi.
"Seorang daripadanya menggunakan pas kerja tapak pembinaan tamat tempoh, seorang lagi mempunyai pas pekerja pembersihan manakala warga Myanmar merupakan pemegang kad UNCHR (Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian)," katanya.
Katanya, DBKL bertindak tegas terhadap peniaga asing secara berterusan.
"Tindakan lanjut menyusul dan gerak kerja serta perancangan lanjut mengenainya dilakukan petang ini.
"Kita tidak akan berkompromi terhadap perniagaan yang dijalankan oleh warga asing tanpa lesen dan bertindak mengikut prosedur yang ditetapkan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!