KKM bimbang kebolehjangkitan tinggi sekiranya taska dibuka
PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melahirkan kebimbangan wujud kebolehjangkitan Covid-19 yang tinggi sekiranya pusat asuhan kanak-kanak ataupun taska dibuka seperti kebiasaannya.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pihaknya banyak menerima permohonan daripada industri untuk membuka kembali taska.
"Kalau kita kumpulkan kanak-kanak pada satu tempat, itu menjadi satu kebimbangan KKM kerana kbolehjangkitan akan meningkat," katanya pada sidang media perkembangan terkini Covid-19 di kementeriannya di sini hari ini.
Menurut Dr Noor Hisham, kesemua permohonan yang dibuat sedang diteliti KKM.
"Kalau kita lihat di taska sebelum Covid-19 melanda, penyakit tangan kaki dan mulut (HFMD) dalam kalangan kanak-kanak sangat mudah berlaku di taska," katanya.
Jelasnya, KKM kini sedang mempertimbangkan kaedah dan inovasi baharu dalam penjagaan kanak-kanak bagi menjamin keselamatan golongan itu.
"Kita masih lagi belum memberi keputusan melainkan kita boleh memperlihatkan pengurusan kanak-kanak tersebut 'one to one' ataupun tempat yang khas baharulah kita pertimbangkan," katanya.
Dalam garis panduan yang diterbitkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) pada 2 Mei lalu, taska di bawah kelolaan Jabatan Kebajikan Masyarakat dibenar beroperasi dengan protokol yang ketat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!