Mana kami nak lalu?

Penduduk tiada laluan lain sekiranya jalan masuk ke rumah mereka diambil untuk projek pembinaan depoh KTMB.
Penduduk tiada laluan lain sekiranya jalan masuk ke rumah mereka diambil untuk projek pembinaan depoh KTMB.
A
A
A

TUMPAT - Empat keluarga terjejas apabila jalan masuk ke kawasan kediaman mereka terlibat dengan projek pembinaan depoh Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB).

Penduduk Kampung Dalam Rhu, Yuzariah Yunus, 53, berkata, jalan itu ditutup kerana terletak di atas tanah KTMB yang akan dibina depoh.

Katanya, penduduk tidak menghalang pembinaan depoh itu tetapi yang dibimbangkan empat keluarga di situ tiada jalan untuk keluar dan masuk ke rumah masing-masing.

“Kami tahu itu hak KTMB, tapi kami harapkan belas ihsan agar ada alternatif lain supaya kami tidak ‘terperangkap’ di sini.

“Sudah tiada jalan lain untuk kami keluar kecuali KTMB sediakan laluan ke rumah kami. Kami ada membuat permohonan dengan KTMB agar menyediakan jalan tetapi permohonan kami ditolak,” katanya.

Yuzariah berkata, sekiranya jalan itu ditutup juga akan menimbulkan kesulitan jika berlaku kecemasan.

“Tahun 2005 pernah berlaku kebakaran besar di kampung ini membabitkan lapan rumah. Disebabkan tiada jalan, jentera bomba sukar masuk.

“Tapi selepas kuarters KTMB di hadapan rumah kami dirobohkan, kami jadikan kawasan ini sebagai jalan keluar masuk ke sini,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, sumber KTMB berkata, laluan tersebut terpaksa ditutup kerana tidak cukup ruang untuk pemasangan rel, ‘turntable’ baharu dan pembinaan ‘washing plant’.

“Lokasi ini perlu dilindungi kerana banyak peralatan berharga dan faktor keselamatan,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!