Bomba dapatkan rakan setugas bantu padam kebakaran
KUALA KANGSAR - Seorang anggota bomba hadir sendiri ke balai bagi mendapatkan bantuan rakan setugas untuk memadam kebakaran rumah jirannya di Jalan Dato Sagor di sini hari ini.
Kejadian sekitar jam 2.35 pagi itu turut menjejaskan struktur bumbung rumah yang disewa oleh Mohd Zulhelmi Zulkefeli, 31, bersama isterinya, Siti Aishah Azmi, 30.
Kejadian itu juga telah menyebabkan empat sekeluarga dikejarkan ke Hospital Kuala Kangsar kerana mengalami melecur akibat terkena bahang api ketika cuba menyelamatkan diri.
Mohd Zulhelmi berkata, dia dikejutkan oleh isterinya setelah terdengar bunyi letupan sebelum asap memenuhi ruang tamu rumahnya.
“Saya menyelamatkan isteri terlebih dahulu dan mencapai dokumen penting sebelum mendapatkan jiran yang ketika itu berjaya keluar dari rumah mereka yang marak terbakar.
“Awalnya saya telah menghubungi rakan setugas dan kemudian saya menaiki motosikal menuju ke Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kangsar yang terletak kira-kira satu kilometer dari rumah untuk melaporkan kejadian ini,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini hari ini.
Menurutnya, dia bersyukur tiada kejadian melibatkan nyawa dilaporkan namun, reda apabila segala kelengkapan rumah termasuk pakaian rosak terkena bara api.
“Isteri baharu pulang dua hari lalu selepas terkandas hampir dua bulan di kampung halaman di Terengganu kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), tiba-tiba hari ini perlu berhadapan dengan kejadian itu.
“Kepantasan rakan mengawal kebakaran berjaya mengekang api merebak membakar rumah kami dan jiran lain. Isteri ada menyediakan kuih dan pakaian baru untuk raya dan semua itu turut musnah,” katanya yang bercadang untuk mencari rumah sewa baharu.
[ARTIKEL BERKAITAN] - Rumah terbakar, empat sekeluarga melecur
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kangsar, Mohd Taufiq Abd Sattar berkata, dua mangsa terdiri daripada wanita warga emas berusia 72 tahun dan anak lelakinya berusia 52 tahun melecur di bahagian muka, badan dan tangan.
“Manakala kanak-kanak lelaki berusia enam tahun dan abangnya berusia 14 tahun hanya lecur sedikit di badan. Kesemua mereka masih menerima rawatan di hospital.
“Siasatan awal dipercayai kebakaran itu bermula dari bilik di bahagian tengah rumah pertama namun, Unit Forensik Kebakaran Bomba telah mengambil sampel di lokasi kejadian bagi mengetahui punca sebenar dan anggaran kerugian,” katanya.
Pada masa sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Chandan, Maslin Sham Razman yang turun melawat telah menghulurkan bantuan kepada mangsa bagi meringankan beban terutama di bulan Ramadan ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!