Singapura catat 768 kes baharu Covid-19
SINGAPURA - Singapura mengesahkan secara awal pertambahan 768 kes jangkitan koronavirus (Covid-19) menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 21,707 kes.
Kementerian Kesihatan Singapura (MOH) berkata, 10 kes melibatkan warga Singapura atau penduduk tetap manakala kebanyakan kes melibatkan pekerja asing yang tinggal di asrama pekerja.
Dalam kenyataan hari ini, kementerian itu berkata ia sedang mengumpulkan maklumat mengenai kes-kes berkenaan yang akan dimaklumkan kemudian.
Singapura sedang dalam proses mengurangkan langkah ketat pemutus rantaian secara berperingkat bermula minggu ini.
Pada masa sama, republik itu sedang membuat persediaan memulakan secara berperingkat aktiviti sosial dan komuniti selepas pemutus rantaian berakhir pada 1 Jun ini.
Dalam perincian yang dikeluarkan pada Khamis, Singapura setakat ini mengklasifikasikan 1,261 kes sebagai kes komuniti, kes import (579) dan kes melibatkan pemegang permit kerja yang tinggal di luar asrama (616).
Pekerja asing yang tinggal di asrama mendominasi kes yang direkodkan pada Khamis iaitu 18,483 atau 88.3 peratus daripada keseluruhan 20,939 kes.
Republik itu juga telah mengenal pasti enam kluster baharu pada Khamis dengan kluster terbesar iaitu S11 Dormitory @ Punggol merekodkan 2,529 kes.
Setakat ini, 1,712 pesakit telah discaj dari hospital atau fasiliti komuniti manakala 1,376 kes masih dirawat di hospital dengan 19 kes berada dalam keadaan kritikal dan dirawat di unit rawatan rapi.
Kementerian itu berkata 17,831 kes melibatkan gejala ringan atau sihat secara klinikal tetapi masih positif Covid-19, diasingkan dan berada di fasiliti komuniti.
Seramai 20 pesakit meninggal dunia akibat komplikasi berikutan Covid-19 di sini, setakat ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!