Pergerakan rentas negeri di Lebuh Raya Utara-Selatan lancar
IPOH - Tiada pergerakan luar biasa berlaku di Lebuh Raya Utara-Selatan pada hari kedua orang ramai melakukan perjalanan rentas negeri dari Perak melalui aplikasi Gerak Malaysia dan kebenaran melalui borang manual polis.
Tinjauan Sinar Harian mendapati Kawasan Rehat dan Rawat Sungai Perak hala selatan lengang dan perjalanan menuju ke Kuala Lumpur juga berjalan lancar.
Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain berkata, pergerakan merentas negeri melibatkan rakyat Perak dijangka berjalan lancar apabila sejumlah 1,647 permohonan secara borang manual diterima polis.
“Bagi permohonan secara aplikasi Gerak Malaysia, kita tiada angka tepat jumlahnya, namun kesesakan seperti kelazimannya sebelum ini tidak berlaku di lebuh raya kerana ada bergerak awal atau waktu malam,” katanya.
Katanya, 30 lokasi sekatan jalan raya telah diatur gerak di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) melibatkan 15 daerah.
“Semua sempadan negeri melibatkan Selangor, Pahang, Pulau Pinang dan Kedah kita tempatkan sekatan jalan raya dalam tempoh PKPB ini termasuk di tol-tol daerah terlibat serta jalan utama. Sekatan jalan raya di jalan-jalan persekutuan pula hanya diadakan sebagai langkah pencegahan jenayah.
“Walaupun Perak diwartakan sebagai zon hijau, pengguna jalan raya diminta mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan seperti menjaga penjarakkan sosial dan guna cecair pembasmi kuman,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!