KPLB lantik tujuh Ahli Majlis Mara berkuat kuasa Jumaat depan

Majlis Amanah Rakyat (Mara)
Majlis Amanah Rakyat (Mara)
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) mengumumkan pelantikan tujuh Ahli Majlis, Majlis Amanah Rakyat (Mara) berkuat kuasa 15 Mei ini.

Menterinya, Datuk Dr Abd Latiff Ahmad dalam satu kenyataan hari ini berkata, kesemua yang dilantik mempunyai ketokohan, keupayaan, kepakaran dan pengalaman yang luas serta menjiwai semangat perjuangan Mara dalam membangunkan Bumiputera.

“Kementerian yakin Mara akan terus dipacu dengan membawa aspirasi dan agenda perjuangan membangunkan sosioekonomi Bumiputera.

“Pelantikan ini juga bagi memastikan tiga sektor utama Mara meliputi keusahawanan, pendidikan dan pelaburan akan digerakkan secara seimbang dan menjadi teras strategik dalam membawa agenda Bumiputera ke tahap lebih tinggi,” katanya.

Katanya, mereka yang dilantik adalah Profesor Datuk Ir Dr Kamal Nasharuddin Mustapha, Datuk Siti Zauyah Md Desa, Datuk Mohamed Farid Mohamed Zawawi, Datuk Jamelah Jamaluddin, Zainal Abidin Kidam, Datuk Seri Md Alwi Che Ahmad dan Datuk Nor Azri Zulfakar.

Selain itu, KPLB turut mengumumkan pelantikan Datuk Dr Syed Muhamad Syed Kadir sebagai Pengerusi Mara Corporation Sdn Bhd (Mara Corp) bagi menerajui Mara Corp yang mula beroperasi pada 2016.

“Mara Corp memainkan peranan melalui subsidiari di bawahnya untuk terlibat secara aktif dalam sektor kritikal ekonomi seperti aeroangkasa, pendidikan, perkhidmatan kewangan, hartanah, pengangkutan dan peruncitan,” katanya.

Bagi memastikan peranan Mara Corp lancar Abd Latiff berkata, sebuah Jawatankuasa Penasihat ditubuhkan dengan Dr Maszlee Malik dilantik sebagai Pengerusi.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, jawatankuasa yang dibarisi empat ahli penasihat itu berperanan membantu memperkukuhkan struktur tadbir urus korporat, di samping memantau program rasionalisasi Mara Corp dengan lebih teliti.

Katanya lagi, KPLB turut melantik Datuk Abdul Halim Mansor sebagai Pengerusi GiatMara.

Abd Latiff turut memaklumkan bahawa pihaknya akan mengiklankan kekosongan jawatan Ketua Pegawai Eksekutif Mara Corp dalam masa terdekat dalam usaha mengenal pasti individu berpengalaman luas dalam bidang korporat serta berintegriti. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!