Cuti Jumaat perlu diselaraskan
KOTA BHARU – Hari Jumaat sepatutnya diselaraskan sebagai hari cuti bekerja di seluruh negara bagi memberi kesesuaian kepada umat Islam untuk menunaikan solat dan sebagainya.
Ketua Penerangan Pas negeri, Datuk Mohd Nassuruddin Daud berkata, bekerja pada hari Jumaat adalah tidak salah, bagaimanapun lebih afdal jika hari kebesaran Islam itu dijadikan cuti hujung minggu kepada rakyat.
“Bekerja pada hari apa pun tidak salah, tapi lebih elok diberikan cuti tersebut pada hari Jumaat. Sebagaimana maklum, orang Islam perlu menunaikan Solat Jumaat.
“Ada syarikat yang tidak membenarkan pekerjanya menunaikan solat dan sebagainya, dengan alasan itu adalah waktu kerja mereka. Kerja Jumaat tidak haram. Tapi kerja waktu solat Jumaat adalah haram.
“Sebab itu kita (Kelantan) melihat hari Jumaat adalah perlu untuk cuti dan Sabtu pula hari bersama keluarga. Sepatutnya perkara seperti ini menjadi keutamaan, ini tidak, solat tidak sempat berdoa, mulalah bergegas untuk masuk kerja balik,”katanya dipetik ceramah yang disampaikan di Kuliah Mingguan Pas Kelantan di Medan Ilmu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!