Tiga usul pada sidang Dewan Rakyat 18 Mei ini
PUTRAJAYA - Antara usul yang akan dibawa dalam persidangan Dewan Rakyat pada 18 Mei ini adalah perisytiharan pelantikan ketua pembangkang, pelantikan jawatankuasa pilihan (select committee) serta pengerusi dan naib pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC).
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Takiyuddin Hassan berkata, Parlimen telah pun dimaklumkan bahawa ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan diisytiharkan sebagai ketua pembangkang oleh Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof.
"Untuk kali ini kerajaan Perikatan Nasional (PN) telah memutuskan polisi melantik Ahli Parlimen pembangkang sebagai Pengerusi PAC dikekalkan, manakala naib pengerusi akan dilantik dalam kalangan anggota penyokong kerajaan. 12 orang ahli PAC akan dilantik oleh Jawatankuasa Pilihan," katanya.
Selain itu, Takiyuddin berkata, dua Rang Undang-Undang penting berkaitan dengan kewangan akan dibawa dalam persidangan kali ini untuk bacaan kali pertama sahaja, iaitu Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan 2019 dan 2020 dengan bacaan berikutnya diadakan pada sidang Parlimen yang bermula pada 13 Julai.
Beliau berkata, mesyuarat pertama, penggal ketiga persidangan Dewan Rakyat, Parlimen ke-14 yang berlangsung 18 Mei ini tidak akan menyaksikan pemeriksaan perbarisan oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah atas nasihat Kementerian Kesihatan (KKM), tetapi Seri Paduka akan tetap bertitah merasmikan sidang Dewan itu.
"Begitu juga, satu usul akan dibawa untuk menangguhkan perbahasan titah Yang di-Pertuan Agong. Biasanya kita menetapkan paling kurang empat hari untuk perbahasan (titah ini) tetapi oleh kerana kita nak cepatkan persidangan kali ini, usul akan dibawa untuk menangguhkan kepada Julai," katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!