Beza ibu tunggal dengan anak VIP
DATUK Seri Azmin Ali menegur sesetengah kerajaan negeri yang enggan mematuhi arahan kerajaan Pusat agar membuka sektor ekonomi seperti biasa.
Kata menteri kanan itu, dek kerana keengganan tersebut kerajaan negeri mungkin terdedah kepada tindakan undang-undang.
“Ini bukan satu ugutan, tapi sebagai suatu peringatan bahawa kerjasama kerajaan Persekutuan dan negeri amat penting untuk mengimbangi kesihatan rakyat dan memulihkan negara,” tegas beliau.
Pada hemat Tok, kerajaan-kerajaan negeri mempunyai bidang kuasa masing-masing dan boleh menggunakan budi bicara masing-masing selagi tidak bercanggah dengan undang-undang.
Dalam pada itu, tidak salah, malah lebih molek menyesuaikan diri dan selari dengan kerajaan Pusat sekiranya untuk kepentingan rakyat.
Kata-kata Azmin itu kedengaran mengugut kerajaan negeri, sepatutnya tidak perlu kata-kata seperti itu, sebaliknya diselesaikan menerusi rundingan...
MAKA Tok tidak terkejut apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim segera mencemuh Azmin sebagai angkuh kerana ugutan tersebut.
Presiden Keadilan itu malah menyamakan sikap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) itu dengan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.
Tok percaya rundingan dan kerjasama masih menjadi asas hubungan baik antara Putrajaya dan kerajaan negeri.
Tambahan pula dalam kita menghadapi krisis Covid-19, orang politik jangan bertelingkah sesama sendiri.
Semua pihak patut ketepikan ego masing-masing dan sama-sama bersatu tenaga dan fikiran untuk melawan wabak maut ini.
Telah terbukti sebelum ini apabila orang politik bertelagah dalam apa perkara pun, yang rugi ialah rakyat biasa.
SEORANG ibu tunggal golongan B40 dijatuhi hukuman penjara kerana melanggar peraturan perintah kawalan pergerakan.
Dalam waktu sama, seorang anak dan menantu VIP hanya dikenakan denda RM800 seorang kerana melakukan kesalahan yang sama.
Ramai yang merasakan bagi keluarga VIP, denda tersebut tidak menjadi masalah – tidak jadi kudis – sebab VIP ada banyak duit, kena denda maksimum RM1,000 pun tidak ada masalah.
Tetapi bagi ibu tunggal, jangankan RM1,000, kompaun RM100 pun terasa perit untuk membayar.
SEBAGAI seorang pengamal media, Tok bersetuju dengan Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJ) berhubung kes anak dan menantu VIP itu.
Kesatuan berkenaan menuntut penjelasan daripada badan kehakiman negara yang melarang wartawan membuat liputan kes keluarga VIP dalam sidang mahkamah terbuka.
Setiausaha Agung NUJ, Chin Sung Chew membantah larangan itu kerana ia seolah-olah menunjukkan tidak ada kebebasan media di negara ini.
Sekiranya kes Altantuya dan kes 1MDB yang melibatkan individu berprofil tinggi pun tiada sekatan liputan, apa istimewanya anak dan menantu VIP sehingga kesnya ada larangan.
ADA cadangan daripada beberapa pemimpin UMNO supaya Tan Sri Muhiyiddin Yassin menyertai UMNO dan kekal sebagai Perdana Menteri.
Cadangan itu dibuat ketika kedudukan UMNO dan Bersatu dalam Perikatan Nasional dipersoalkan ekoran kenyataan beberapa pemimpin parti yang memperlihatkan berlaku rasa tidak puas hati dalam kalangan ahli dan pemimpin masing-masing.
Dengan Muhyiddin masuk semula UMNO, kedua-dua parti tersebut tidak perlu lagi bersaing sesama sendiri pada PRU akan datang.
Dalam keadaan PKP sekarang lupakanlah cakap-cakap politik. Tidak kira apa parti, tumpuan utama hendaklah terhadap rakyat.
AKHIR kalam, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) mengesahkan bahawa enam warga asing yang sedang dalam siasatan berkaitan dengan kes Covid-19 telah melarikan diri dari sebuah pusat kuarantin di Kuala Lumpur pada Isnin lalu.
Menurut jurucakap NADMA, kejadian itu berada di bawah bidang kuasa polis. Dalam kawalan ketat pun enam warga asing itu berjaya melarikan diri. Tok agak warga asing itu menggunakan ilmu hitam...
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!