Nuzul al-Quran disambut dengan normal baharu

Umat Islam masih boleh mengimarahkan sambutan Nuzul al-Quran dengan bertadarus dan khatam al-Quran secara sendiri atau bersama keluarga di rumah masing-masing. - Foto Bernama
Umat Islam masih boleh mengimarahkan sambutan Nuzul al-Quran dengan bertadarus dan khatam al-Quran secara sendiri atau bersama keluarga di rumah masing-masing. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Setiap tahun pada 17 Ramadan mengikut kalendar Hijrah, umat Islam akan berkumpul, mengadakan majlis khatam dan tadarus membaca ayat-ayat suci al-Quran beramai-ramai sempena sambutan Nuzul al-Quran.

Pelbagai program termasuk ceramah agama biasanya diadakan di seluruh negara bagi mengenang kembali sejarah turunnya ayat al-Quran kepada Nabi Muhammad SAW.

Bagaimanapun, tahun ini semuanya berbeza, dengan keadaan negara yang 'dibadai' Covid-19, pastinya perhimpunan ramai untuk menganjurkan kelaziman itu tidak boleh dilakukan Ahad ini berikutan negara kini dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bagi membendung pandemik maut itu daripada terus menular.

Namun situasi itu bukan alasan untuk umat Islam negara ini tidak meraikan sambutan itu, sebaliknya ia diraikan dengan normal baharu iaitu tadarus al-Quran dilakukan secara sendiri, dalam talian atau bersama keluarga di rumah masing-masing sekali gus menghayati kemuliaan bulan Ramadan.

Beberapa negeri telah mengeluarkan kenyataan bahawa tiada sebarang sambutan Nuzul al-Quran di negeri masing-masing, dengan umat Islam di Johor digalakkan untuk terus bertadarus dan khatam al-Quran secara sendiri atau bersama keluarga di rumah masing-masing.

Mufti Johor, Datuk Yahya Ahmad berkata, keputusan untuk negeri Johor itu selaras titah Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar sebelum ini, iaitu aktiviti di masjid, surau serta musala di negeri itu ditangguhkan bagi mengekang penularan Covid-19.

Bagaimanapun, bagi mengimarahkan Ramadan, Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) menyediakan tazkirah ihya Ramadan setiap hari untuk orang ramai yang boleh ditonton menerusi laman Facebook jabatan itu.

Keputusan yang sama juga dibuat di Pulau Pinang apabila Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP), Zulkifli Long menggalakkan umat Islam negeri itu melakukan amalan beribadah bersama ahli keluarga di rumah bagi meningkatkan lagi keimanan dan ketakwaan sempena dengan penghayatan peristiwa Nuzul al-Quran.

Artikel Berkaitan:

"Semua program perhimpunan keagamaan ditangguhkan selaras dengan arahan kerajaan. Orang ramai dimohon untuk sama-sama beribadah dengan ahli keluarga di rumah dengan melakukan solat fardu berjemaah, melakukan tiga amalan iaitu tarawih, tadabbur dan tahajjud (3T)," katanya.

Bagi Kedah pula, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Luar Bandar, Agama dan Syarikat Berkaitan Kerajaan negeri, Datuk Dr Ismail Salleh berkata, sambutan tetap bermakna apabila ibu bapa dapat membaca al-Quran bersama anak-anak sekali gus boleh mengeratkan hubungan kekeluargaan.

“PKPB ini ada hikmahnya apabila kita dapat menumpukan ibadah lain seperti solat tarawih, bersedekah dan memperbaiki amalan-amalan sunat lain terutama 10 malam terakhir Ramadan nanti,” katanya.

Keadaan sedikit berbeza di Pahang, apabila sambutan Nuzul al-Quran pada Ahad akan dibuat secara siaran langsung menerusi stesen radio Pahang FM dan laman sosial Facebook Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), bersesuaian dengan normal baharu.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Pelajaran dan Kesihatan negeri, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, pelbagai program disusun sepanjang hari termasuk ceramah dan soal jawab agama serta tadarus al-Quran oleh individu yang dipilih oleh JAIP.

"Meskipun dengan penularan wabak Covid-19, urusan dakwah tidak akan tersekat atau terhalang, cuma ia akan dilakukan dengan pendekatan yang sedikit berbeza... tahun ini kita tidak dapat berkumpul beramai-ramai tetapi program pengisian yang biasanya kita anjurkan akan diteruskan," katanya.

Program akan dimulakan dengan ucapan Syed Ibrahim diikut oleh ceramah bertema Nuzul al-Quran oleh Imam Masjid Negeri Sultan Ahmad Shah 1 Datuk Badli Shah Alauddin, selain ceramah Imam Masjid Daerah Bentong Fahizmi al-Hafiz dan diikuti siaran tadarus al-Quran serta tahlil. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!