Covid-19: Bangladesh buka semula masjid

Sebuah masjid di daerah Karwan Bazar, Dhaka kini dibuka untuk jemaah selepas pemerintah menarik balik larangan solat berjemaah semalam. - Foto Agensi
Sebuah masjid di daerah Karwan Bazar, Dhaka kini dibuka untuk jemaah selepas pemerintah menarik balik larangan solat berjemaah semalam. - Foto Agensi
A
A
A

DHAKA - Bangladesh semalam menarik balik larangan perhimpunan besar-besaran dan solat di masjid yang berlangsung selama sebulan dan menggesa orang ramai untuk mematuhi garis panduan kesihatan yang ketat bagi mengekang penyebaran koronavirus (Covid-19).

Langkah itu adalah susulan notis yang dikeluarkan Kementerian Hal Ehwal Agama Bangladesh kelmarin yang menetapkan garis panduan untuk jemaah.

Menurut laporan Arab News, berikutan pembukaan semula masjid pada bulan Ramadan, jemaah perlu memakai topeng muka dan menjaga jarak satu meter antara satu sama lain ketika menunaikan solat.

Pentadbir masjid juga diarahkan untuk menyah kuman di lantai sebelum solat, menanggalkan permaidani dan menyediakan kemudahan mencuci tangan dengan sabun atau pembersih tangan.

Selain itu, orang tua dan kanak-kanak tidak dibenarkan masuk ke masjid, malah mereka juga dilarang mengatur makanan iftar serta sahur di tempat mereka.

Pembantu Setiausaha untuk Kementerian Hal Ehwal Agama, Abdul Hamid Jomaddar berkata, pemerintah melonggarkan sekatan itu kerana sentimen keagamaan umat Islam pada bulan Ramadan.

Jomaddar bagaimanapun memberi amaran masjid harus memastikan panduan pemerintah dipatuhi dengan tepat.

"Kakitangan Yayasan Islam kami sedang berjaga-jaga di seluruh negara untuk memantau jika ada pelanggaran garis panduan kesihatan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Keputusan membuka semula masjid turut mencetuskan kebimbangan pakar kesihatan awam kerana kadar jangkitan Covid-19 di Bangladesh masih meningkat.

Menurut pakar penyakit berjangkit berpusat di Dhaka, Profesor Benazir Ahmed, terdapat lebih 250,000 masjid di Bangladesh dan sehingga 25 juta jemaah berisiko dijangkiti virus.

"Memandangkan jumlah jangkitan di negara ini tinggi, pemerintah perlu melanjutkan lockdown sehingga kes turun dan kemudiannya menarik balik sekatan di zon hijau yang tiada jangkitan," jelasnya.

Pada awal bulan lalu, Bangladesh mengenakan langkah penjarakkan sosial yang ketat termasuk melarang perhimpunan keagamaan dan solat jemaah di masjid, dengan solat Jumaat terhad kepada maksimum 12 orang.

Sekatan sama turut dikenakan untuk solat tarawih. - Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!