Macam tak ikhlas nak bagi elaun!

Gambar hiasan. Anggota polis dan tentera melakukan sekatan jalan raya ketika tinjauan wartawan pada awal pagi di sekitar Kuala Lumpur baru-baru ini.
Gambar hiasan. Anggota polis dan tentera melakukan sekatan jalan raya ketika tinjauan wartawan pada awal pagi di sekitar Kuala Lumpur baru-baru ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Petugas barisan hadapan yang berkhidmat sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) melahirkan rasa kecewa terhadap kesukaran untuk membuat tuntutan elaun penugasan koronavirus (Covid-19) yang berjumlah RM200 sebulan.

Mereka menyifatkan kerajaan seperti tidak ikhlas dalam pemberian elaun penugasan itu apabila anggota dan pegawai polis terlibat perlu mengisi tiga salinan set borang sebelum menuntut elaun tersebut.

Menurut seorang anggota polis dari Pulau Pinang yang hanya ingin dikenali sebagai Ali berkata, mereka perlu mengisi borang melalui e-siar dan ia harus diisi secara bertaip yang perlu disertakan bersama enam jenis salinan dokumen peribadi.

Menurutnya, antara yang perlu disertakan ialah salinan akaun bank gaji, salinan slip gaji, surat arahan bertugas daripada ketua bahagian dan surat arahan bertugas yang ditandatangani oleh ketua polis daerah serta senarai nama petugas.

Tambahnya, tuntutan penugasan itu bermula pada tarikh 1 April sehingga 30 April sedangkan PKP dilaksanakan pada 18 Mac lalu.

“Memang benar banyak sangat prosedur, macam tak ikhlas. Selain itu ia juga dilihat tidak adil kepada mereka yang bertugas pada awal pelaksanaan PKP iaitu 18 Mac kerana tuntutan penugasan boleh dibuat bermula dari 1 hingga 30 April.

“Ia juga mengambil kira jumlah penugasan 15 hari ke atas sahaja yang layak menerima RM200 manakala mereka yang bertugas kurang daripada 15 hari cuma layak menerima RM100. Penugasan dikira lapan jam sehari,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Artikel Berkaitan:

Gambar hiasan. Petugas keselamatan sedang menjalankan penugasan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Gambar hiasan. Petugas keselamatan sedang menjalankan penugasan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Seramai 42,000 anggota polis dibantu 6,000 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dikerahkan di seluruh negara bagi memastikan PKP dilaksanakan dengan lancar dan teratur.

Daripada jumlah tersebut, seramai 15,000 anggota polis terbabit dalam penugasan di lokasi 1,295 sekatan jalan dengan tiga syif setiap hari bersama dengan anggota tentera.

Sementara itu, Ali yang kini berusia 32 tahun berkata, yang lebih mengecewakan apabila ramai yang menganggap pasukan barisan hadapan hanya terlibat dengan Sekatan Jalan Raya (SJR) semata-mata.

“Tanggapan itu tidak benar. Kami daripada banyak jabatan dan bahagian. Semua anggota dan pegawai polis terlibat dalam penugasan sepanjang PKP ini. Ada yang kerja di balai, bilik gerakan, rondaan balai dan ronda jenayah.

“Bukan yang bertugas di SJR sahaja dianggap barisan hadapan. Jadi, tak baguslah jika kerajaan menetapkan terlalu banyak syarat untuk kami membuat tuntutan pembayaran elaun penugasan Covid-19,” katanya.

Dalam pada itu, seorang anggota polis dari Selangor yang hanya mahu dikenali sebagai Musa berkata, ramai dalam kalangan anggota polis berkecil hati dengan perkara tersebut menyebabkan mereka enggan membuat sebarang tuntutan.

“Perkara ini sudah kecoh dalam kalangan anggota polis kerana tidak berbaloi untuk isi tiga set tuntutan setebal 60 muka surat hanya untuk mendapatkan elaun sebanyak RM200,” ujarnya.

Bagi seorang anggota polis dari Terengganu yang hanya ingin dikenali sebagai Zafrul, mereka perlu menyediakan penyata bank daripada akaun gaji bagi membuat permohonan tersebut.

“Sukar sangat nak mohon. Kami perlu sediakan pelbagai dokumen yang memang terpaksa mengambil masa untuk mendapatkannya, sebagai contoh penyata bank.

“Selain itu kami perlu sertakan bermacam-macam lagi dokumen... tuntutan tersebut memang tersangat cerewet.

“Kadang terfikir juga, adakah insentif yang ingin diberikan kepada kami petugas barisan hadapan ini benar-benar ikhlas? Kenapa pihak berkenaan tak masukkan saja ke dalam akaun bank kami,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN 'Kami bukan tidak bersyukur...'

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!