[LAPORAN KHAS] 36 tahun di Ramada kini tinggal memori
SHAH ALAM - Walter Andrew Selvadorai bukanlah pemilik atau pengasas Hotel Ramada Plaza yang terletak di tengah-tengah kota Melaka.
Namun, setelah berkhidmat selama 36 tahun dengan hotel itu yang sebelum ini dikenali sebagai Ramada Renaissance Melaka dan Renaissance Melaka Hotel, dia adalah antara orang yang paling sedih saat dikhabarkan hotel berstatus lima bintang itu akhirnya akan ditutup pada 30 Jun ini.
“Sudah pasti saya berasa amat sedih dengan berita penutupan Ramada Plaza yang selama ini menjadi sebahagian besar hidup saya,” ujarnya.
Mesra dipanggil Walter, anak jati Melaka dari Tanjung Minyak Utama itu menceritakan dirinya telah bersama Ramada Plaza sejak ia mula beroperasi pada tahun 1984.
“Saya menyertai Ramada Plaza pada 15 Ogos 1984 dengan gaji permulaan sebanyak RM185. Tugas pertama saya pada ketika itu adalah sebagai pembantu dapur.
“Selepas itu saya diberi peluang menjadi pelayan bar untuk beberapa tahun sebelum dinaikkan pangkat menjadi kapten F&B Coffee House sehinggalah sekarang,” katanya dalam nada sebak.
Menurut Walter, 60, beliau menerima surat penamatan tugas dan makluman mengenai penutupan Ramada Plaza pada April lalu.
Katanya, dalam surat berkenaan pihak pengurusan menjelaskan hotel itu terpaksa ditamatkan operasi selepas dibadai teruk wabak Covid-19 dengan hari terakhir kakitangan bekerja adalah pada 30 Jun.
“Buat masa ini, saya hanya duduk di rumah, namun sekiranya pihak hotel memanggil semula selepas PKP ini untuk tugas-tugas akhir seperti mengemas barang-barang, saya akan hadir ke hotel,” kata Walter yang kini menghabiskan masa di rumah sehingga Perintah Kawalan Pergerakan Bersayarat tamat kelak.
Menyingkap kenangan manis sepanjang lebih tiga dekad mencurah bakti di hotel terkemuka di Melaka itu, Walter berkata, banyak momen indah yang dicipta bersama-sama rakan seperjuangan.
“Namun, antara yang paling manis adalah ketika saya menerima anugerah Melaka State Service Champion ketika Majlis Makan Malam Persatuan Hotel Malaysia (MAH) pada 6 Jun 2012,” kongsinya.
ARTIKEL BERKAITAN [LAPORAN KHAS] Covid-19 ‘kapankan’ hotel-hotel Malaysia
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!