Ahli Parlimen Pas, Bersatu setuju persidangan sehari
SHAH ALAM - Penetapan persidangan Dewan Rakyat sehari iaitu pada 18 Mei ini dilihat wajar dan memadai dalam situasi negara yang masih lagi berhadapan dengan penularan jangkitan wabak koronavirus (Covid-19).
Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid berkata, ini kerana sidang Parlimen menyaksikan penglibatan ramai pihak yang berada dalam satu tempat yang sama.
"Jadi isu yang menjadi keutamaan ialah perlunya penjarakan sosial di dalam Dewan yang akan dipenuhi 222 ahli Dewan, belum termasuk pegawai dan pihak-pihak lain yang berkaitan.
"Jadi ini akan menyukarkan proses mesyuarat atau persidangan, justeru dalam keadaan sekarang adalah wajar mesyuarat itu diadakan sehari untuk memenuhi keperluan Perlembagaan negara," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Rosol yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna berkata, semua pihak khususnya ahli Parlimen pembangkang perlu melihat kepada aspek situasi yang berlaku ketika ini.
"Mengenai cadangan pembangkang supaya tempoh persidangan dipanjangkan lebih sehari, pembangkang ini apa saja yang kerajaan buat semua tidak betul.
"Jadi bila itu keadaannya, maka kita tak perlu ambil pusing kepada cubaan pembangkang untuk menangguk di air keruh dengan cuba mempolitikkan isu ini kerana kerajaan sekarang sedang fokus untuk menangani masalah Covid-19 yang kita jangka akan berakhir tidak lama lagi.
"Insya-ALLAH, kalau keadaan mengizinkan, bulan Julai nanti akan diadakan persidangan sepenuhnya," katanya.
Sementara itu, pandangan sama turut disokong Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim.
Menurutnya, keputusan yang dibuat itu mengambil kira kepentingan semua pihak khususnya dalam keadaan negara yang masih berdepan dengan pandemik Covid-19.
"Kita melihat kerajaan masih sangat berhati-hati berhubung sebarang program yang melibatkan himpunan dengan jumlah yang ramai.
"Jadi, bayangkan untuk sidang Parlimen ini ia akan melibatkan 222 ahli Parlimen bersekali dengan lain-lain pegawai akan duduk dalam dewan yang sama.
"Faktor keselamatan inilah yang sangat dititik berat oleh pihak Parlimen kerana sudah tentulah kita sebagai badan penggubal undang-undang yang antara tertinggi dalam Perlembagaan tidak mahu sekiranya terjadi kita dilihat terlebih dahulu melanggar usaha kerajaan untuk mengekang Covid-19 dengan mewujudkan kluster baharu Parlimen," katanya.
Jelasnya, ini kerana sehingga kini vaksin untuk merawat wabak itu belum ditemui.
"Jadi saya rasa bukan satu masalah yang besar (bersidang satu hari) kerana bukan sahaja di Malaysia di seluruh dunia buat macam tu.
"Jadi, kerana itu saya rasa adalah tepat bagi kerajaan mengambil segala langkah untuk berhati-hati dalam perkara ini," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!