Susah 'claim' elaun: Bukit Aman bincang dengan kontinjen negeri
KUALA LUMPUR - Jabatan Pengurusan Bukit Aman akan mengadakan perbincangan dengan kontinjen negeri pada minggu hadapan berhubung dakwaan berlakunya kesulitan pegawai dan anggotanya untuk mendapatkan elaun tugasan Covid-19 sebanyak RM200 sebulan.
Pengarah Pengurusan Bukit Aman, Datuk Abdul Rahim Jaafar berkata, setakat ini tiada laporan tiada diterima pihaknya berhubung dakwaan tersebut.
Bagaimanapun, katanya, beliau ada dengar-dengar mengenai rungutan itu.
“Sekiranya benar ada rungutan sedemikian, kita akan siasat. Sebagaimana dakwaan mengatakan kesukaran mengisi borang dan sebagainya, benda itu adalah prosedur yang dikeluarkan dan borang itu tidaklah tebal.
“Borang itu adalah borang yang sama seperti mereka mengisi borang outstation dan sebagainya. Cuma dalam borang itu kita mengisi nama dan tugasan yang dilaksanakan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.
Abdul Rahim berkata, dakwaan mengatakan borang itu setebal 30 muka surat adalah tidak benar.
Beliau bagaimanapun berkata, pihaknya akan meneliti dan melihat lebih lanjut.
Katanya, minggu hadapan Jabatan Pengurusan Bukit Aman dijangka membincangkan perkara itu dengan kontinjen di setiap negeri bagi mengetahui permasalahan yang timbul.
Pada 27 Mac lalu, kerajaan bersetuju membayar elaun khas sebanyak RM200 sebulan kepada anggota tentera, polis, kastam, imigresen, anggota Angkatan Pertahanan Awam serta RELA yang terbabit secara langsung melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Elaun terbabit akan mula dibayar mulai 1 April 2020 sehingga wabak Covid-19 berakhir.
ARTIKEL BERKAITAN 'Kami bukan tidak bersyukur...'
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!