Persatuan percetakan persoal buku teks PT3 lambat siap
CHERAS - [DIKEMASKINI] Persatuan Pengusaha Percetakan Melayu Malaysia (PPPMM) mempersoalkan mengapa buku teks Program Dwibahasa (DLP) Sains dan Matematik untuk pelajar Tingkatan Tiga masih belum diedarkan sehingga kini.
Presidennya, Muhammed Farhan Basheer berkata, pihaknya mendapat maklumat kemungkinan buku tersebut diedarkan pada bulan Mac sedangkan ia sepatutnya ada di sekolah pada bulan ini.
Menurutnya, disebabkan kelewatan itu, ibu bapa pelajar turut mempersoalkan mengapa anak-anak mereka masih belum mendapat buku teks untuk dua subjek berkenaan.
“Persoalan lain yang perlu dijawab, mengapa projek ini diberikan kepada penerbit, bukan kepada ahli dalam persatuab pencetak Bumiputera? Adakah penerbit itu berupaya untuk mencetak projek dalam skala besar sebegitu?
“Keputusan memberikan projek secara rundingan terus telah mengetepikan syarikat percetakan Bumiputera yang lebih berkelayakan dan berkemampuan sekiranya dibuat secara terbuka,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.
Tambah Muhammed Farhan, PPPMM kesal kerana berlakunya kelewatan menyiapkan buku teks ini sedangkan sesi persekolahan telah bermula sejak 2 Januari lepas.
“Apakah berlaku lagi amalan kronisme dalam pentadbiran kerajaan? Dalam syarat dan perlembagaan juga ada klausa bahawa kerja percetakan dari kerajaan perlu diberi kepada syarikat percetakan Bumiputera,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau turut mengkritik keputusan Kementerian Kewangan memberikan kelulusan khas untuk permohonan melaksanakan perolehan buku teks DLP secara rundingan terus.
Tegasnya, walau apa alasan sekalipun, kementerian perlu membuat tawaran secara tender terbuka, bukan secara rundingan terus bagi mengelak memberi projek kepada kroni atau individu tidak layak.
“Kerajaan juga perlu memastikan mana-mana tender perlu diberi kepada kontraktor yang layak dan cekap bagi memastikan projek dapat disiapkan pada tarikh ditetapkan agar tidak menjejaskan sistem pendidikan yang sedang berjalan.
“Jadi untuk apa syarikat percetakan Bumiputera mengeluarkan modal untuk membeli mesin cetak yang mahal harganya untuk memenuhi skop kerja penerbitan tetapi hak mereka diketepikan,” ujarnya.
Minggu lalu, Kementerian Pendidikan dalam satu kenyataan menyebut pembekalan buku teks DLP untuk semua sekolah yang menawarkan subjek Matematik dan Sains Tingkatan Tiga akan dilaksanakan mulai Mac ini.
Menurut kenyataan itu, pembekalan buku teks tersebut tidak dapat dilaksanakan pada awal sesi persekolahan ekoran perubahan untuk menambah baik sistem perolehan dan mengelakkan sistem rundingan terus sejak pertengahan 2018.
Selain itu, Kementerian Kewangan dalam kenyataan menyatakan telah memberikan kelulusan khas untuk permohonan melaksanakan perolehan buku-buku teks DLP secara rundingan terus.
Kementerian itu dalam satu kenyataan berkata, kelulusan khas pada 18 September tahun lepas dibuat supaya keperluan pelajar-pelajar dapat dipenuhi secepat mungkin.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!