Wajar bina arca Wenger di Emirates
Dua bekas bintang Arsenal, Martin Keown dan Ray Parlour masing-masing bersetuju dengan pembinaan arca bekas pengendali kelab berkenaan Arsene di luar Stadium Emirates.
Keown berkata, bermula di Higbury hingga ke Emirates yang mula dibuka pada 2006, Wenger dilihat secara konsisten telah membantu skuad The Gunners itu mencatatkan banyak kejayaan.
Menurutnya, sepanjang 22 tahun mulai 1996 hingga 2018, Wenger telah mengemudi kelab berkenaan untuk menjulang tiga kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) dan tujuh Piala FA Inggeris dan itu sudah cukup menobatkannya selaku pengurus paling berjaya dan paling lama berkhidmat bersama Arsenal.
"Sebelum dia (Wenger), kami hanya berjaya menamatkan saingan pada kedudukan kesepuluh, keempat, kedua belas dalam saingan EPL.
“Kami kemudiannya berjaya memenangi tiga gelaran EPL dan tujuh Piala FA dengan kehadirannya.
“Sebab itulah mengapa dia berhak untuk menerima penghormatan dengan pembinaan arca di luar stadium Emirates,” katanya.
Sementara itu Parlour menyifatkan Wenger juga seharusnya diberikan penghormatan sebagai salah seorang ahli lembaga pengarah kelab berkenaan.
Katanya, Wenger sewajarnya diberikan penghormatan berkenaan apatah lagi dia tidak terlibat dengan sebarang tugas selaku pengurus pasukan bola sepak sejak meninggalkan Emirates.
“Dia (Wenger) memiliki visi dan dia sepatutnya ada di bilik ahli lembaga pengarah. Lagi pun, dia lebih gemar menggunakan ‘kita’ dan ‘kami’ ketika bercakap,” katanya.
“Wenger kini sepatutnya sudah boleh duduk di bilik lembaga pengarah dengan perasaan penuh rasa bangga,” katanya.
Untuk rekod, sejak peninggalan Wenger, Arsenal melantik bekas pengendali Valencia, Sevilla dan Paris St Germain, Unai Emery namun ia hanya mampu bertahan selama semusim sebelum dipecat pada November 2019 dan digantikan dengan Mikel Arteta sehingga ke hari ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!