Mayat lelaki jatuh sungai ditemui terapung
LIPIS - Mayat lelaki yang dilaporkan hilang selepas jatuh ke dalam Sungai Jelai dekat Tanjung Jati, Kuala Lipis sejak tiga hari lalu ditemui terapung di sungai simpang Kuala Kechau pagi tadi.
Mangsa, Asri Sallih, 47, dari Kampung Tanjung Lipis ditemui pada jam 8.45 pagi tadi semasa operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan.
Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Azli Mohd Noor berkata, mangsa ditemui kira-kira 8 kilometer dari tempat kejadian.
Menurutnya, seramai lima pegawai, 22 anggota terdiri polis, bomba dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan lima penduduk kampung terlibat dalam operasi SAR hari ketiga hari ini dengan kekuatan beberapa jentera bot.
"Operasi SAR dihentikan pada jam 9.40 pagi tadi dan mayat mangsa dibawa ke Hospital Kuala Lipis untuk bedah siasat," katanya dalam satu kenyataan.
Mangsa yang bertugas di Majlis Daerah Lipis dilaporkan tergelincir dan jatuh ke dalam sungai tersebut ketika membuang air yang bertakung dalam bot.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!