Wanita tidak boleh jadi imam kepada lelaki: Dr Zulkifli
KUALA LUMPUR - Wanita tidak boleh menjadi imam kepada kaum lelaki meskipun suaminya merupakan seorang mualaf dan masih belum mendalami ilmu agama Islam dengan secukupnya.
Demikian penjelasan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri bagi menjawab ciapan tular membabitkan seorang wanita yang mendakwa menjadi imam solat kepada suaminya yang merupakan seorang mualaf di laman Twitter sejak tiga hari lalu.
Menurutnya, pendapat itu sudah diputuskan bukan sahaja Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan sejak sekian lama bahkan ia juga merupakan pandangan ulamak sejak zaman dahulu lagi.
"Saya syorkan dalam isu seperti ini, suami seharusnya akan tetap menjadi imam dan si isteri juga perlu kekal menjadi makmum.
"Dalam situasi sebegini juga, mungkin (pasangan suami isteri berkenaan) boleh cari seorang ahli keluarga lain seperti anak dan keluarga yang terdekat bagi membolehkan ia menjadi imam (kepada pasangan berkenaan)," katanya kepada media selepas majlis sidang akhbar di studio TV Alhijrah di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif TV Alhijrah, Namanzee Harris dan Ahli Lembaga Yayasan Warisan Ummah IKhlas, Ahmad Yani Abd Manaf.
Sejak tiga hari lalu, tular satu ciapan oleh pemilik akaun bernama Aisha Tan Adam yang berkongsi pengalamannya menjadi imam solat kepada suaminya yang merupakan seorang mualaf melalui laman Twitter.
Bagaimanapun, ciapannya itu mendapat maklum balas negatif ramai warganet yang mempertikaikan tindakan pemilik akaun berkenaan kerana melakukan perbuatan tidak berlandaskan hukum agama.
Kecaman dan nasihat warganet itu namun tidak diendahkan pemilik akaun Twitter berkenaan yang menyifatkannya sebagai ketidakadilan terhadap jantina.
"Belajar harini, esok terus boleh jadi imam ke? Aku dah belajar agama dari kecik, terang-terang lebih fasih tentang agama. Bukankah lebih elok aku yang bimbang i.e imamkan? Kenapa aku boleh imamkan kanak-kanak tetapi tidak boleh imamkan laki aku yang lagi muda dari budak dalam Islam?
"Semuanya semata-mata sebab korang fixated dengan jantina. Bukannya untuk kemaslahatan sesiapa," ciapnya melalui laman twitter yang menerima sukaan 454 orang dan ciapan kembali lebih 200 warganet.
Dr Zulkifli berkata, suami hendaklah sentiasa berusaha untuk belajar dan berlatih bacaan al-Quran.
Menurutnya, seorang suami yang gagap dan tidak fasih membaca al-Quran akan mendapat ganjaran dua pahala apabila dia belajar membaca al-Quran berdasarkan hadis Nabi Muhammad SAW.
"Yang penting ada usaha dan pada masa sama isteri hendak beri sokongan dan dokongan kepada suaminya untuk terus belajar al-Quran dengan seupaya mungkin," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!